Suspek hadapi krisis rumah tangga, dalam proses penceraian - Polis

REMBAU - Polis sedang giat menjalankan siasatan lanjut berhubung kes kematian tragis seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, M Tishant, yang ditemukan tertanam di kawasan belukar di Rompin di sini pada Isnin.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, setakat ini motif kejadian masih belum dikenal pasti, namun siasatan awal mendapati suspek yang juga bapa kandung mangsa sedang berdepan dengan masalah rumah tangga.
“Berdasarkan soal siasat awal, suspek dipercayai dalam proses penceraian dengan isterinya. Setakat ini, suspek juga tidak memberi respon yang positif terhadap siasatan,” katanya pada Selasa.
Menurut beliau, proses bedah siasat ke atas mayat mangsa telah dimulakan pada jam 12 tengah hari di Unit Forensik Hospital Rembau dan selesai sekitar jam 4.26 petang.
Hasil bedah siasat mengesahkan bahawa punca kematian adalah akibat tekanan di leher akibat jerutan menggunakan pengikat kabel (cable tight).

Terdahulu, Tishant dilaporkan hilang di Johor Bahru pada Khamis lalu sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan tertanam di kawasan belukar di Rompin.
Bapa kanak-kanak berkenaan berusia 36 tahun telah ditahan dan kini direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek sebelum ini membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan di dalam kereta sementara dia keluar membeli makanan.
Sementara itu, datuk saudara mangsa yang ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau berkata, keluarga tidak menyangka tragedi sebegitu menimpa mereka apatah lagi melibatkan individu terdekat.
Ujarnya, keluarga terutama ibu mangsa hilang selera makan sejak anaknya dilaporkan hilang.
“Biasa kita dengar kes sebegini di berita, kita rasa simpati. Tapi kali ini, ia berlaku kepada keluarga kami sendiri. Lebih menyayat hati, suspek bukan orang luar… tapi bapa kandungnya sendiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
