Bloomberg pertahan laporan isu saham, Azam Baki ambil tindakan undang-undang

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

SHAH ALAM - Bloomberg News mempertahankan laporan yang diterbitkannya berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang kini memulakan tindakan undang-undang terhadap agensi berita Amerika Syarikat itu.

Memetik laporan The Edge, jurucakap Bloomberg News berkata, pihaknya berpegang pada laporan yang disiarkan.

“Kami kekal dengan laporan kami,” ujarnya dalam maklum balas kepada The Edge menerusi e-mel, namun tidak mengulas pertanyaan lain.

Azam yang mengetuai SPRM dilaporkan telah memulakan prosiding undang-undang terhadap Bloomberg susulan laporan berhubung pegangan sahamnya yang disifatkan pasukan guamannya sebagai “fitnah, tidak bertanggungjawab dan amat mengelirukan”.

Firma guaman Messrs Zain Megat & Murad memaklumkan mereka telah diarahkan untuk mengambil segala tindakan undang-undang yang tersedia, termasuk tuntutan ganti rugi dan relif lain yang bersesuaian.

Kenyataan itu hadir ketika isu berkenaan terus mencetuskan perdebatan awam susulan laporan media mengenai pegangan saham Azam dalam beberapa syarikat tersenarai awam.

Menurut laporan tersebut, Bloomberg sebelum ini melaporkan pemilikan sebanyak 17.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partner Bhd oleh Azam.

Dalam sidang akhbar yang dilaporkan agensi berita nasional Bernama, Azam mengakui membeli saham berkenaan pada awal 2025 sebelum menjualnya pada Julai tahun yang sama.

Pada Jumaat, Azam dalam kenyataan peribadinya menegaskan beliau telah membuat pengisytiharan yang diperlukan melalui saluran rasmi selaras dengan peraturan semasa yang mengawal selia pegawai perkhidmatan awam.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Bloomberg News mempertahankan laporan berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, memulakan tindakan undang-undang terhadap Bloomberg
  • Azam Baki dilaporkan memiliki 17.7 juta saham dalam syarikat Velocity Capital Partner Bhd
  • Azam mengakui membeli dan menjual saham tersebut pada tahun 2025
  • Azam telah membuat pengisytiharan yang diperlukan mengenai pegangan sahamnya melalui saluran rasmi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!