[VIDEO] Peniaga nasi lemak mengaku tidak bersalah ugut sebar gambar bogel

A
A
A

GEORGE TOWN – Seorang peniaga nasi lemak mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap seorang lelaki yang dikenalinya melalui aplikasi ‘dating’ pasangan sejenis pada minggu lalu.

Tertuduh (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret 2 pada Khamis.
Tertuduh (kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret 2 pada Khamis.

Tertuduh, S Chandran, 35, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail di Mahkamah Majistret 2 di sini pada Khamis.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap Mohamad Hanif Hamid, 33, bahawa gambar-gambar bogelnya akan disebarkan.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang tunai berjumlah RM8,400 kepada tertuduh secara dalam talian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kediaman di Jalan Kelawai di sini, antara jam 2 pagi hingga 11.30 pagi pada 22 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil, manakala tertuduh diwakili peguam, A. Mahesh.

Artikel Berkaitan:

Syairah tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kes tersebut merupakan kesalahan yang tidak dibenarkan jaminan.

“Saya juga memohon mahkamah agar tidak memberi jaminan terhadap tertuduh, namun sekiranya mahkamah mahu memberi jaminan, mohon ia disertakan dengan syarat tambahan,” katanya.

Sementara itu, Mahesh dalam rayuan berkata, anak guamnya yang berusia 35 tahun masih bujang dan perlu menjaga ibunya yang sudah berusia.

“Anak guam saya hanya berniaga nasi lemak bersama ibunya. Dia juga menghidap penyakit asma dan sukar bernafas yang memerlukan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

“Dia juga beralamat tetap di Pulau Pinang, maka tiada kegusaran untuk tertuduh melarikan diri. Tambahan pula, tertuduh sendiri menyerah diri kepada polis untuk disiasat.

“Tujuan jaminan hanyalah untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah,” katanya.

Muhammad Amzar kemudiannya menetapkan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes ditangguhkan sehingga 2 September untuk sebutan semula dan serahan dokumen.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!