Islam bukan bersifat teokratik tetapi prinsip keadilan - WADAH

Abdul Manap
Abdul Manap
A
A
A

KOTA KINABALU – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Sabah menegaskan bahawa kedudukan Islam dalam sistem perlembagaan negara bukan bersifat teokratik, sebaliknya berteraskan prinsip keadilan, maslahat dan kestabilan sosial.

Pengerusi WADAH Sabah, Abdul Manap Mahmud berkata, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan Islam sebagai agama Persekutuan, namun pada masa sama agama-agama lain bebas diamalkan secara aman dan damai.

Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan Malaysia melalui beberapa keputusan terdahulu turut menegaskan bahawa peruntukan berkenaan mempunyai implikasi undang-undang dan bukan sekadar simbolik.

"Beberapa negeri di Malaysia menetapkan Islam sebagai agama negeri tanpa menafikan kebebasan beragama dalam kalangan masyarakat bukan Islam," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik Warisan, Christopher Masudal yang mahu kerajaan Sabah mengembalikan kebebasan beragama dengan membetulkan pindaan perlembagaan 1973 untuk melindungi penduduk asli Sabah.

Chistopher dilaporkan berkata, perkembangan politik dan dasar baru-baru ini di Tanah Melayu memerlukan perbincangan segera di Sabah untuk mengembalikan kebebasan beragama sepenuhnya di negeri ini.

Sementara itu, Abdul Manap berkata, dari sudut perundangan Islam, penetapan Islam sebagai agama negeri tidak bermaksud pemaksaan agama, sebaliknya menyediakan asas kepada pentadbiran hal ehwal Islam seperti pengurusan zakat, wakaf, urusan nikah cerai dan pendidikan Islam, selaras dengan kepentingan agama serta kesejahteraan masyarakat.

Katanya, masyarakat majmuk bukan sesuatu yang asing dalam tradisi tamadun Islam kerana sejarah menunjukkan bahawa Piagam Madinah mengiktiraf dan menjamin hak komuniti bukan Islam, termasuk kebebasan mengamalkan agama serta sistem peribadi masing-masing.

Selain itu, katanya, konsep Ahl al-Dhimmah dalam sejarah Islam turut memberi perlindungan kepada masyarakat minoriti.

Artikel Berkaitan:

"Dalam konteks Malaysia masa kini, WADAH Sabah menegaskan bahawa kebebasan beragama terus dijamin oleh perlembagaan, mahkamah sivil kekal mempunyai bidang kuasa dalam perkara melibatkan bukan Islam, manakala Mahkamah Syariah hanya terpakai kepada orang Islam.

"Justeru, penetapan Islam sebagai agama negeri tidak menafikan sifat majmuk dan pluralistik masyarakat," katanya.

Menurut beliau lagi, kerangka Maqasid Syariah yang menekankan pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta wajar menjadi asas dalam menilai sebarang isu berkaitan agama negeri.

"Sehubungan itu, setiap pelaksanaan dasar perlu dilihat dari sudut keupayaannya meningkatkan keadilan, mengurangkan konflik dan memelihara keharmonian sosial," katanya.

Beliau berkata, WADAH Sabah berpandangan bahawa jika sesuatu undang-undang menimbulkan ketidakpastian identiti atau kesulitan pentadbiran yang membebankan rakyat, pendekatan pembaharuan dan penambahbaikan adalah selari dengan prinsip maqasid.

"Namun, pembaharuan tersebut tidak semestinya menolak kedudukan Islam, sebaliknya boleh melibatkan penjelasan prosedur perundangan, penyelarasan bidang kuasa serta penambahbaikan mekanisme semakan kehakiman," katanya.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Islam tidak mengiktiraf paksaan dalam agama, justeru sebarang pentadbiran Islam yang sah perlu berasaskan pilihan individu, tidak menindas komuniti lain serta tertakluk kepada proses semakan kehakiman.

Dalam masa sama, WADAH Sabah mencadangkan pendekatan progresif dan jalan tengah bagi menangani isu berkenaan, termasuk menegaskan komitmen terhadap kebebasan beragama dalam perlembagaan negeri, memperkukuh pemisahan bidang kuasa Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah, mewujudkan mekanisme perundingan antara agama serta menjamin tiada implikasi automatik terhadap status agama tanpa proses kehakiman yang adil.

Menurut Abdul Manap, langkah berkenaan selari dengan prinsip keadilan, kasih sayang dan kebijaksanaan yang menjadi teras ajaran Islam.

Sehubungan itu, tegasnya, penetapan Islam sebagai agama negeri tidak semestinya bercanggah dengan prinsip pluralisme, sebaliknya isu sebenar terletak pada aspek pelaksanaan dan pentadbiran, manakala pembaharuan boleh dilakukan tanpa menafikan kedudukan Islam.

"WADAH Sabah turut menekankan bahawa dialog serta kefahaman terhadap konteks sejarah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilihat sebagai usaha memperkemaskan kerangka perlembagaan, bukannya mencetuskan konflik agama," katanya.

Ringkasan AI

  • WADAH Sabah menekankan kedudukan Islam dalam perlembagaan negara Malaysia bukan bersifat teokratik tetapi berlandaskan prinsip keadilan, maslahat, dan kestabilan sosial
  • Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama Persekutuan dengan membenarkan agama lain diamalkan secara aman
  • Penetapan Islam sebagai agama negeri menyediakan asas kepada pentadbiran hal ehwal Islam tanpa memaksa agama tersebut kepada bukan Islam
  • Kebebasan beragama dijamin dalam perlembagaan Malaysia, dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa yang berasingan
  • WADAH Sabah mencadangkan pendekatan progresif yang memperkukuh pemisahan kuasa mahkamah dan dialog antaragama bagi menangani isu kebebasan beragama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!