[VIDEO] MCMC kenal pasti lebih 50 akaun sebar kandungan CIB berunsur perkauman - Fahmi

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenal pasti lebih 40 akaun Facebook dan hampir 10 akaun TikTok yang terlibat dalam penyebaran kandungan disyaki tingkah laku tidak tulen terselaras (CIB) berunsurkan perkauman dalam tempoh 24 jam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, satu video bersama naratif sama telah disebarkan secara terselaras yang didakwa melibatkan insiden antara invididu berbangsa India dan Melayu.
"Didapati dalam tempoh 24 jam yang lepas satu berita telah ditularkan yang pada awalnya didakwa melibatkan seorang gangster India yang telah mencederakan tuan tanah Melayu, dan terdapat elemen serta bibit perkauman yang cuba diselitkan.
"Hampir semua daripada hantaran ini menggunakan video sama dengan ayat sama. Proses siasatan berkait sebaran maklumat ini sedang berjalan dan sebarang percubaan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman tidak akan diterima,” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Madani berkata demikian pada sidang media pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini pada Jumaat.
Semalam, polis mengesahkan insiden dalam video tular memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar motosikal ditunggang seorang lelaki di Kampung Sungai Jernih, Kajang tidak melibatkan unsur gangsterisme atau isu perkauman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berpunca daripada pertikaian peribadi berkaitan isu tanah serta laluan lori di kawasan berkenaan.
Terdahulu, tular video berdurasi 16 saat memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda melanggar sebuah motosikal serta terdapat gambar dengan kapsyen mendakwa menerima ugutan.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, MCMC telah mengenal pasti 19 akaun dipercayai palsu yang terlibat dalam aktiviti CIB dengan menyebarkan maklumat atau komen tidak sepatutnya sewaktu siaran langsung Parlimen.
"Daripada 19 akaun itu, dua telah disahkan sebagai akaun palsu dan siasatan sedang berjalan untuk 17 akaun berbaki,” katanya merujuk kepada laporan sebuah akhbar bahasa Inggeris tempatan pada 8 Feb lepas.
Akhbar tersebut melaporkan siaran langsung Parlimen telah menjadi medan penyebaran mesej berunsur kebencian dan maklumat tidak benar dan menggesa tindakan proaktif bagi menangani perkara itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengenal pasti lebih 40 akaun Facebook dan hampir 10 akaun TikTok terlibat dalam penyebaran kandungan perkauman
- Satu video bersama naratif perkauman disebarkan secara terselaras melibatkan insiden antara individu berbangsa India dan Melayu
- Polis mengesahkan insiden dalam video tular adalah akibat dari pertikaian peribadi berkaitan isu tanah dan laluan lori
- MCMC mengenal pasti 19 akaun dipercayai palsu terlibat dalam aktiviti penyebaran maklumat tidak sepatutnya sewaktu siaran langsung Parlimen
- Dua daripada 19 akaun tersebut disahkan palsu dan siasatan sedang berlangsung untuk 17 akaun berbaki
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
