Ejen, pelobi, orang tengah beri rasuah dalam radar SPRM

GENTING HIGHLANDS - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti beberapa sindiket melibatkan pelobi, ejen atau orang tengah yang terlibat dalam memberi rasuah kepada pihak tertentu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, beberapa tahun kebelakangan ini pihaknya memberi fokus kepada anggota-anggota penguat kuasa dan dilihat kes itu masih berulang.
"Kita mengalih fokus kita untuk tahun ini, kita akan 'attack' ejen, orang tengah dan sesiapa yang terlibat dengan agensi penguat kuasa.
"Kesemua ejen ini tidak kira di lapangan terbang, pelabuhan, melibatkan perolehan kerajaan dan sebagainya.
"Bila sebut tentang ejen, ini termasuklah orang tengah dan juga pelobi-pelobi projek dan sebagainya.
"Saya beri amaran keras pada mereka untuk menghentikan aktiviti ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Bengkel Kewartawanan: Memahami Peranan SPRM Dalam Pencegahan dan Usaha Memerangi Rasuah di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, SPRM telah mengenal pasti beberapa sindiket yang didalangi ejen tersebut dan tindakan tegas akan diambil.
Jelasnya, mereka berada dalam radar SPRM.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff.
Ringkasan AI
- SPRM mengenal pasti beberapa sindiket melibatkan pelobi dan ejen dalam memberi rasuah
- Fokus diberikan kepada anggota penguat kuasa beberapa tahun kebelakangan dan kes masih berulang
- Tumpuan SPRM kini adalah kepada ejen, orang tengah dan mereka yang terlibat dengan agensi penguat kuasa
- Ejen yang terlibat merangkumi pelbagai sektor termasuk lapangan terbang, pelabuhan dan perolehan kerajaan
- SPRM memberi amaran keras kepada semua ejen dan orang tengah untuk menghentikan aktiviti rasuah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
