Doktor mengaku tidak bersalah palsukan dokumen pekerja domestik

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen pada tiga tahun lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen pada tiga tahun lalu.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Seorang doktor wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memalsukan dokumen borang pendaftaran pekerja domestik tiga tahun lalu.

Dr Winnie Ong Beng Cheen, 44, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memperdaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk mempercayai bahawa borang pendaftaran pekerja domestik yang ditandatangani oleh Cheah Chyuan Yong adalah benar.

Tertuduh didakwa dengan sengaja mendorong PERKESO untuk mendaftarkan pekerja domestik Nurhayati Hasan, seorang warganegara Indonesia, menyebabkan Cheah Chyuan Yong diperdaya untuk membuat caruman sebanyak RM20.60 sebulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di No. 22A, Jalan Mesra, Taman Saujana Permai, Bukit Mertajam pada 21 November 2022.

Sehubungan itu, tertuduh dituduh melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala tertuduh diwakili peguam, Chiang Kian Hong.

Nor Shakila menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, dalam rayuannya, Kian Hong memohon agar mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang minimum dan tidak menerima syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

“Anak guam saya berusia 44 tahun dan merupakan ibu tunggal, selain mempunyai empat orang anak berusia antara 10 hingga 17 tahun.

“Dia telah diberikan jaminan polis sebelum ini dan hadir ke mahkamah seperti yang ditetapkan tanpa gagal. Ini menunjukkan tertuduh tiada niat untuk melarikan diri.

“Oleh itu, saya berpandangan syarat tambahan iaitu penyerahan pasport kepada mahkamah tidak perlu, memandangkan kes ini bukan satu kesalahan yang serius. Saya mohon jaminan yang munasabah,” katanya.

Nurul Rasyidah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

“Mahkamah berpendapat syarat tambahan tidak diperlukan dalam kes ini kerana ia bukan satu kes yang serius sehingga boleh menyebabkan tertuduh melarikan diri ke luar negara.

“Kes ditangguhkan sehingga 4 September ini untuk serahan dokumen,” katanya.

Difahamkan, tertuduh telah membayar wang jaminan terbabit.

Sebelum itu, tertuduh yang hadir ke mahkamah dan ditemani peguamnya sempat menunjukkan tanda ‘peace’ ke arah petugas media sambil berkata, “ambil lagi gambar saya,” ketika berjalan masuk ke kamar mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!