'Tergamak buat begitu pada cicit saya’ - Moyang Tishant

JOHOR BAHRU - Moyang kepada kanak-kanak lelaki, A Tishant, 6, yang ditemui mati ditanam di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan pada Isnin lalu, menyifatkan cicitnya itu sebagai seorang yang bijak, fasih berbahasa Inggeris dan amat penyayang.
Warga emas berusia lingkungan 80-an yang enggan dikenali itu berkata, keluarganya amat sukar menerima kenyataan bahawa Tishant sudah tiada dan tidak menyangka mendiang diperlakukan sedemikian rupa.
“Dia panggil saya ‘pai patti’ atau ‘periya patti’ (moyang). Saya tidak tahu berapa lama dia (mendiang) tertimbus dalam tanah.
“Tergamak ada insan yang sanggup melakukan perkara seperti itu,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Jalan Rimbun, Bandar Seri Alam.
Menurutnya, kehilangan Tishant memberi kesan mendalam khususnya kepada ibu mangsa yang kini mengalami trauma.
“Ibu Tishant sangat menyayangi anaknya. Dia selalu merakam gambar Tishant. Kami tidak dapat bayangkan bagaimana dia akan mengharungi saat-saat getir ini.
“Kami hanya mampu berdoa semoga diberi kekuatan melalui ujian ini,” katanya sebak.
Sementara itu, saudara-mara dan ahli keluarga terdekat mula berkumpul di rumah nenek mangsa sejak jam 7 malam, Selasa.
Van mayat yang membawa jenazah Tishant dari Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau tiba kira-kira jam 9.30 malam.
Bagaimanapun, ahli keluarga meminta agar media menghormati saat duka mereka dan tidak membuat sebarang liputan.
Difahamkan, upacara pengembumian akan dijalankan pagi esok bermula jam 8 pagi, sebelum mayat dibawa ke Krematorium Hindu di Jalan Kebun Teh, Johor Bahru untuk proses pembakaran pada jam 10.30 pagi.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Tishant, yang dilaporkan hilang pada 24 Julai lalu di Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, ditemui mati ditanam di sebuah lokasi di Rompin, Jempol, Negeri Sembilan.
Penemuan mayat pada Isnin itu susulan penahanan bapa mangsa, yang merupakan suspek utama berusia 36 tahun, oleh polis Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

