Rumah kosong guna elektrik haram lombong bitcoin diserbu

A
A
A

MELAKA - Sebuah rumah kosong di taman perumahan baharu di Taman Tambak Paya Harmoni di sini dikesan melakukan sambungan bekalan elektrik secara haram bagi kegiatan perlombongan mata wang kripto, bitcoin.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, kegiatan itu terbongkar hasil pemantauan dan rondaan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengesan peningkatan haba serta arus elektrik luar biasa di premis berkenaan.

Menurutnya, sambungan kabel haram itu disorok menggunakan kain langsir bagi mengaburi mata orang awam, namun berjaya dikesan menerusi risikan yang dijalankan selama hampir dua bulan.

“Anggaran kerugian akibat kecurian elektrik itu dianggarkan sekitar RM8,000 sebulan.

“Bagaimanapun tiada tangkapan dibuat susulan rumah tersebut kosong tidak berpenghuni ketika serbuan dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada operasi bersepadu bersama TNB dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga di rumah berkenaan pada Khamis.

Menurut Mohd Noor Helmy, operasi itu merupakan operasi kedua dijalankan pada tahun ini selepas satu serbuan pada Januari lalu yang melibatkan dua unit premis kedai dengan anggaran kerugian mencecah RM1.6 juta.

“Pada tahun lalu, sebanyak 85 kes perlombongan bitcoin haram direkodkan, meningkat mendadak berbanding 30 kes pada tahun sebelumnya.

“Dari segi kerugian pula, sebanyak RM10.46 juta direkodkan pada 2024 manakala RM29.63 juta direkodkan pada 2025 akibat kecurian bekalan elektrik ini bagi aktiviti berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata kegiatan perlombongan bitcoin bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada TNB, malah turut mendatangkan risiko keselamatan kepada penduduk sekitar.

“Arus elektrik yang terlalu tinggi boleh menyebabkan kabel menjadi panas dan seterusnya mencetuskan kebakaran.

“Ia juga boleh mengakibatkan gangguan bekalan elektrik serta merosakkan peralatan elektrik di kediaman berhampiran,” katanya.

Beliau enyeru orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau luar biasa di kawasan kediaman masing-masing kepada pihak berkuasa, pejabat wakil rakyat atau terus kepada TNB.

Ujarnya, maklumat awal daripada orang awam amat penting bagi membolehkan tindakan segera diambil sebelum berlaku kejadian tidak diingini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!