Setiausaha NGO misi kemanusiaan ditahan disyaki salah guna kuasa, seleweng dana RM4.2 juta

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan setiausaha badan bukan kerajaan (NGO) kerana disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng dana milik NGO terbabit berjumlah kira-kira RM4.2 juta.
Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 6 petang pada Rabu, ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Mahkamah Majistret Putrajaya pada Khamis, kemudian membenarkan permohonan reman terhadap suspek selama tiga hari sehingga 7 Februari selepas permohonan dibuat SPRM di hadapan Majistret Ezrene Zakariah.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek yang juga merupakan pemilik sebuah syarikat makanan disyaki melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2022 hingga 2024.
“Suspek dipercayai telah melulus dan memindahkan dana NGO berjumlah kira-kira RM4.2 juta ke dalam akaun dua buah syarikat lain bagi tujuan pelaburan di mana individu-individu di dalam pengurusan persatuan dipercayai mempunyai kepentingan di dalam syarikat-syarikat tersebut.
"Siasatan kini menjurus kepada elemen penyelewengan dana awam, memandangkan NGO tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang menerima sumbangan orang ramai bagi tujuan misi kemanusiaan di Gaza," katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Datuk Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menahan setiausaha NGO atas syak penyelewengan dana RM4.2 juta
- Suspek lelaki berusia 40-an ditangkap ketika memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM
- Mahkamah membenarkan permohonan reman suspek selama tiga hari
- Siasatan mendapati suspek melakukan penyelewengan antara tahun 2022 hingga 2024
- Dana NGO disalahgunakan untuk pelaburan di syarikat dengan kepentingan pengurusan persatuan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
