Dua beranak ditahan menyamar polis, samun warga Bangladesh

MELAKA – Dua beranak ditahan selepas disyaki menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun seorang lelaki warga Bangladesh dengan melarikan wang tunai berjumlah RM720 dalam kejadian pada Ahad lalu.
Bapa berusia 51 tahun dan anak lelakinya berusia 25 tahun itu dikatakan menghampiri mangsa yang sedang mengayuh basikal sebelum memberhentikannya dengan menyamar sebagai anggota polis.
Suspek kemudian berpura-pura memeriksa beg sandang mangsa sebelum melarikan wang tunai yang berada di dalam beg berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, tangkapan dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Cawangan D9, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sekitar jam 10 malam, Ahad lalu.
“Tangkapan dilakukan di Kawasan Perindustrian Ringan Telok Mas dan sebuah pondok berhampiran Masjid Al-Alami, Ayer Keroh.
“Hasil tangkapan ini, pihak polis berjaya menyelesaikan satu kes samun yang disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan, selain kesalahan menyamar sebagai penjawat awam di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
Bagaimanapun, katanya, semakan rekod jenayah mendapati suspek utama mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes rogol, samun dan penipuan.
Sementara itu, anaknya mempunyai satu rekod lampau melibatkan kes menyamar sebagai polis dan samun.
“Polis telah mendapatkan arahan pendakwaan terhadap suspek utama di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan dijangka akan dituduh pada 6 Februari 2026 di Mahkamah Majistret Ayer Keroh.
“Seksyen 392 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, manakala Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.
Beliau mengalu-alukan mana-mana individu yang pernah mengalami kejadian sama supaya tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan dijalankan dengan lebih menyeluruh.
Orang awam turut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan individu tidak dikenali yang mendakwa sebagai penjawat awam bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Ringkasan AI
- Dua beranak menyamar sebagai polis, samun warga Bangladesh
- Bapa dan anak lelaki itu menahan mangsa yang mengayuh basikal
- Mereka melarikan wang tunai RM720 dari beg sandang mangsa
- Ditangkap di Melaka pada Ahad malam, bebas daripada penyalahgunaan dadah
- Suspek utama memiliki rekod jenayah, akan dituduh di Mahkamah pada 6 Februari 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

