Mayat budak dalam belukar: Suasana hiba selubungi Hospital Rembau

REMBAU - Suasana hiba menyelubungi pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau apabila ahli keluarga termasuk ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan mati tertanam di kawasan belukar di Rompin, hadir menunggu proses bedah siasat pada Selasa.
Keluarga mangsa tiba sekitar jam 8 pagi bagi menantikan laporan bedah siasat selesai dilakukan.
Mangsa dikenali sebagai M Tishant, dilaporkan hilang di Johor Bahru pada Khamis lalu sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan tertanam di kawasan belukar di Rompin, Negeri Sembilan, pada Isnin. Kes tersebut kini disiasat sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata proses bedah siasat telah dimulakan pada jam 12 tengah hari.
“Setakat ini siasatan masih berjalan. Motif kejadian masih belum jelas, namun siasatan awal mendapati suspek sedang menghadapi masalah rumah tangga dan dalam proses penceraian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa suspek tidak memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan setakat ini.
Terdahulu, seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga bapa kandung kepada mangsa telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, suspek sebelum ini membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang kira-kira jam 4 petang Khamis ketika ditinggalkan di dalam kereta sementara dia keluar membeli makanan di sebuah kopitiam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

