JC Arziah kekal dengar kes saman Dr Dzulkefly, Najib isu kroni

Dr Dzulkefly, Najib
Dr Dzulkefly, Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pesuruhjaya Kehakiman (JC), Arziah Mohamed Apandi akan kekal mendengar kes saman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung komen isu kronisme di akaun Facebooknya di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Ia selepas mahkamah menolak permohonan Dr Dzulkefly selaku plaintif, supaya beliau menarik diri daripada mengadili kes tersebut.

Berdasarkan keputusan, Pesuruhjaya Kehakiman ini berkata, plaintif gagal membuktikan wujudnya bahaya dan berat sebelah yang mungkin timbul.

Beliau berkata, tidak dinafikan beliau merupakan anak kepada Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang dilantik oleh Najib, 72, sebagai Peguam Negara (ketika itu).

“Bagaimanapun, hubungan itu adalah antara bapa dengan Najib, bukannya saya dan mana-mana pihak di sini.

“Tiada bukti wujudnya hubungan yang berterusan antara bapa dan Najib, kecuali pada 2019 ketika menjadi saksi dalam kes di mahkamah,” katanya.

Lebih-lebih lagi katanya, Mohamed Apandi tidak lagi memegang jawatan itu sejak tahun 2018.

Justeru katanya, sebarang kaitan dengan litigasi ini ialah lemah dan bersifat sejarah.

Sebelum ini, Dr Dzulkefly memohon kesnya didengar hakim lain, dengan alasan hubungan kekeluargaan di mana Arziah merupakan anak Mohamed Apandi yang dilantik bekas Ahli Parlimen Pekan itu, pada tahun 2016.

Artikel Berkaitan:

Disebabkan fakta itu katanya, ia menimbulkan persepsi berat sebelah atau kebimbangan munasabah.

Pada 24 Ogos 2020, Dr Dzulkefly memfailkan saman atas kapasiti peribadi mendakwa, Najib telah memuat naik satu hantaran fitnah di Facebooknya.

Ia mengenai isu kronisme dengan menyertakan satu lampiran paparan artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 tertera gambar plaintif (ketika itu bekas Menteri).

Dakwanya, kenyataan itu membawa maksud beliau mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat kerajaan atau swasta.

Plaintif mendakwa, Najib menerbitkan hantaran fitnah dengan niat untuk menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah serta mengaibkan sekali gus bermotifkan politik untuk memfitnah serta menjejaskan reputasi.

Oleh itu, plaintif memohon perintah injunksi untuk menghalang Najib selaku defendan atau ejennya meneruskan penerbitan atau menyebarkan hantaran itu dalam sebarang cara.

Plaintif turut memohon perintah supaya defendan membuat permohonan maaf secara bertulis yang diterbitkan di akaun Facebooknya dan dihebahkan di akhbar tempatan pilihannya dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah, selain memohon ganti rugi am, teruk, teladan dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Najib dalam pernyataan pembelaannya mendakwa hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebooknya tiada kaitan dengan Menteri Kesihatan itu.

Najib mendakwa terbitan itu merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH), maka tiada sebarang fitnah dibuat terhadap plaintif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!