Kes 1MDB: KDN bantah Najib panggil KPN jadi saksi

Najib (tiga, kiri) hadir di Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
Najib (tiga, kiri) hadir di Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) membantah permohonan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memanggil Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain, sebagai saksi di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Peguam Kanan Persekutuan, Muhammad Ilmami Ahmad, memaklumkan demikian semasa perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Menurutnya, pihak pembelaan Najib, 72, telah menyerahkan sepina kepada Razarudin pada Isnin lalu.

“Bagaimanapun, tiada alasan atau sebab-sebab mengapa KPN perlu hadir sebagai saksi pembelaan dinyatakan dalam permohonan tersebut.

“Sehubungan itu, saya mohon mahkamah memberikan masa untuk kami menyediakan hujahan bagi membantah permohonan tersebut,” katanya yang juga Penasihat Undang-Undang KDN.

Sementara itu, peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Najib berkata, keterangan KPN penting bagi membolehkan pihak pembelaan mendapatkan maklumat daripada bekas Ketua Perbankan Pelaburan Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa.

Menurutnya, sebelum ini beberapa percubaan dilakukan untuk menjejaki Roger Ng susulan kenyataan Razarudin berhubung keberadaan lelaki terbabit.

“Tiada maklum balas daripada KPN walaupun beliau mengeluarkan beberapa kenyataan media berkenaan Roger Ng, jadi kami mempunyai banyak sebab untuk memanggil beliau memberi keterangan,” katanya.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) kemudiannya menetapkan 5 Mei depan untuk prosiding tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pada 10 Disember tahun lalu, Sinar Harian melaporkan bahawa pihak polis masih menjalankan siasatan terhadap Roger Ng berhubung skandal 1MDB.

Razarudin memaklumkan bahawa Roger Ng masih berada dalam kawalan pihak polis bagi membantu siasatan.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB, serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram, ia dilakukan antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta, penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!