Kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat: JBPM tidak tolak kemungkinan berlaku aktiviti penerokaan

KUALA LANGAT – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak menolak kemungkinan berlaku aktiviti penerokaan di Hutan Simpan Kuala Langat (HSKL) Selatan, di sini, yang berpotensi menyebabkan kebakaran berskala besar.
Ketua Zon 5 (KLIA) JBPM Negeri Selangor, Mohamad Issmanto Md Pono berkata, punca kejadian masih dalam siasatan, semakan serta pemantauan.
Menurutnya, kebakaran dipercayai berpunca daripada beberapa faktor termasuk keadaan semula jadi akibat cuaca panas, kering dan berangin.
“Namun, JBPM juga tidak menolak kemungkinan berlakunya aktiviti penerokaan tanah secara tidak bertanggungjawab bagi tujuan pertanian.
“Operasi pemadaman kini memasuki hari ketiga (Khamis). Sehingga tengah hari tadi, operasi masih diteruskan melibatkan keluasan anggaran 22.6 hektar.
“Sebanyak 19 hektar kebakaran telah berjaya dipadamkan manakala baki kira-kira 3.6 hektar masih dalam tindakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bersama dua unit dron JBPM berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lebih luas dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Daerah Kuala Langat, Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat, Angkatan Pertahanan Awam Daerah Kuala Langat, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN) serta Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).
Tambahnya, JPNS turut meningkatkan pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di lokasi memandangkan HSKL Selatan berada di bawah bidang kuasa dan pentadbiran jabatan berkenaan.
Jelasnya, memandangkan kawasan terlibat merupakan tanah gambut, pasukan di lapangan menggunakan teknik pemadaman ‘direct attack’, limpahan air dari telaga tiub (tubewell) JPNS serta pembinaan parit pemutus api (fire break) bagi menyekat kebakaran di bawah permukaan tanah.
“Operasi turut dibantu dengan penggunaan aset Fire Rescue Tender (FRT), pam mudah alih serta jentera ekskavator,” ujarnya.
Tegas beliau, penduduk sekitar dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk memandangkan angin kencang dan cuaca kering yang sedang melanda, khususnya pemilik tanah berhampiran kawasan HSKL Selatan.
Dalam kejadian pada Selasa, sepasukan BBP Banting dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.43 tengah hari.
Pasukan bertugas yang tiba di lokasi kemudian melakukan pemantauan serta perbincangan bersama pegawai zon bagi merancang operasi pemadaman.
Ringkasan AI
- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tidak menolak kemungkinan berlaku aktiviti penerokaan yang menyebabkan kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan
- Punca kebakaran masih dalam siasatan dan operasi pemadaman memasuki hari ketiga
- Kebakaran melibatkan keluasan 22.6 hektar dengan 19 hektar telah dipadam
- Pasukan bomba menggunakan teknik pemadaman 'direct attack', air dari tubewell dan pembinaan parit untuk mengendalikan api
- Penduduk dinasihatkan tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka untuk mengelakkan situasi bertambah buruk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
