Menara Kuala Lumpur kembali dibuka esok

PUTRAJAYA - Menara Kuala Lumpur akan beroperasi semula bermula jam 9 pagi Sabtu untuk kunjungan umum.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan, langkah itu selari dengan komitmen berterusan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan pekerja yang terlibat, di samping menyediakan perkhidmatan serta persekitaran kondusif dan selamat buat pengunjung.
"Menerusi pengurusan baharu premis Menara Kuala Lumpur yang diterajui oleh syarikat LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM), kerajaan komited untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang efisien, berorientasikan pelanggan dengan penambahbaikan berterusan kepada aspek keselamatan dan keselesaan yang boleh menarik minat pengunjung dari dalam dan luar negara," katanya.
Bangunan Menara Kuala Lumpur ditutup sementara pada 17 April lalu untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.
Ia susulan pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur telah diambil alih oleh LSHSM bermula 1 April lepas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!