81 warga Indonesia ditahan curi kelapa sawit

TELUK INTAN - Seramai 81 lelaki warga Indonesia ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri buah kelapa sawit di sekitar daerah Hilir Perak dalam Op Helang Hilir Fasa 2 yang dijalankan bermula jam 1 pagi, pada Selasa.
Operasi itu melibatkan kekuatan 33 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, semua suspek berusia antara 20 hingga 56 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di kawasan Langkap, Labu Kubong, Chui Chak serta Teluk Intan.
Menurutnya, operasi tersebut melibatkan serbuan ke atas 19 premis termasuk kawasan kebun dan rumah kongsi pekerja ladang sawit.
“Daripada jumlah tangkapan, seramai 56 suspek didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Seramai 25 individu lagi mempunyai permit atau pas lawatan yang telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan.
Bakri berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Kesemua tangkapan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan untuk permohonan tahanan reman bagi membantu siasatan lanjut.
“Operasi ini merupakan kesinambungan tindakan bersepadu bagi membanteras kegiatan kecurian buah kelapa sawit yang semakin berleluasa melibatkan warga asing,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
