Peneroka rugi besar kebun kelapa sawit dimusnahkan gajah

KUANTAN - Peneroka Felda Bukit Kuantan kini berdepan krisis akibat serangan gajah yang berterusan sejak tiga tahun lalu, mengakibatkan kerugian lebih RM800,000 apabila kebun kelapa sawit mereka musnah.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Bukit Kuantan, Bakaruddin Daud, 65, berkata, lebih 40 ekor gajah telah menceroboh kira-kira 30 kebun peneroka di kawasan tersebut.
Menurutnya, kehadiran haiwan liar itu telah memusnahkan lebih 3,000 pokok kelapa sawit matang, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan mereka.
"Dulu, serangan berlaku setahun sekali atau dua kali, tetapi kini ia menjadi lebih kerap sejak tiga tahun kebelakangan ini.
"Kita sangat berharap pihak kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian," katanya ketika ditemui di ladang kelapa sawit di Bukit Kuantan di sini.
Senada dengan itu, mandur Felda Plantation Sdn Bhd, Kamsan Shariff, 76, berkata, gajah di kawasan ini mempunyai pola pergerakan tertentu di beberapa kawasan.
“Sebenarnya, kumpulan gajah ini ada pusingan pergerakan. Kadang-kadang dalam satu masa gajah ini ada di Felda Cherul, Kemaman kemudian bergerak ke Felda Bukit Sagu 7, kemudian ke Felda Bukit Sagu dan kembali ke sini.
"Biasanya, kumpulan gajah ini hanya muncul setiap lima hingga enam bulan sekali, namun kali ini lebih lama di sini kerana kawasan ini sedang tanam semula pokok sawit," ujarnya.
Bagi peneroka, Derahman Mamat, 75, berkata, serangan gajah telah mengakibatkan kemusnahan besar terhadap ladangnya.
“Saya tanam 600 pokok, tetapi selepas gajah datang berulang kali, hanya tinggal 100 pokok sahaja.
"Bayangkan, ratusan pokok hilang begitu sahaja,” katanya.
Seorang lagi peneroka, Mohd Tahar, 80, turut meluahkan rasa kecewa terhadap kerugian yang dialami akibat serangan haiwan itu.
Menurutnya, setiap pokok yang dimusnahkan menyebabkan mereka perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk menggantikannya.
"Kos setiap pokok termasuk harga anak pokok RM23, upah menanam RM7 dan baja pula RM40.
"Kami benar-benar merayu agar pihak berkenaan mengambil langkah untuk menghentikan serangan gajah ini,” luahnya.
Selain itu, Mohd Tahar mendakwa Jabatan Perlindungan Haiwan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sebelum ini pernah memberitahu untuk memasang pagar elektrik sejak dua tahun lalu.
Katanya, namun sehingga kini tiada tindakan sedemikian dilakukan.
"Bukan apa, kami bimbang haiwan liar itu akan masuk ke kawasan kampung dan mengancam penduduk memandangkan kawasannya yang berhampiran, jika tidak diambil tindakan segera," katanya.
Habis#
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

