Gencatan senjata buka lembaran baharu buat rakyat - PM Kemboja

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menyifatkan kejayaan melaksanakan gencatan senjata dengan Thailand sebagai pencapaian penting yang membuka lembaran baharu buat rakyat kedua-dua negara.
Menurut beliau, persefahaman tersebut yang dicapai dalam Mesyuarat Khas dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal memberikan nafas baharu kepada lebih 300,000 pelarian yang terkesan akibat konflik sempadan yang berlaku sebelum ini.
“Saya yakin keputusan yang dicapai hari ini akan membuka banyak peluang kepada puluhan ribu rakyat yang berada di luar negara untuk kembali ke ASEAN dan memulakan semula proses membina kepercayaan, kesetiaan serta kerjasama,” katanya.
Hun Manet berkata demikian dalam satu sidang media bersama selepas Mesyuarat Khas antara Kemboja dan Thailand yang berlangsung pada Isnin.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan bahawa Thailand dan Kemboja telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta bermula malam Isnin, hasil rundingan yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana pada jam 3.15 petang.
Hun Manet turut merakamkan penghargaan kepada Anwar atas usaha dan inisiatif peribadinya dalam menganjurkan serta mempengerusikan mesyuarat tergempar itu.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menjadi tuan rumah kepada mesyuarat tergempar dan tepat pada masanya ini, serta atas usaha dan inisiatif peribadi beliau sebagai orang tengah kepada gencatan senjata serta-merta antara Kemboja dan Thailand pada 24 Julai 2025.
“Saya juga berterima kasih kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan kerajaan China atas sokongan mereka dalam proses damai ini,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menghargai peranan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai yang telah terlibat secara positif dalam dialog tersebut sehingga membawa kepada persetujuan untuk menghentikan pertempuran serta-merta dan membuka ruang kepada kerjasama antara ketenteraan kedua-dua negara mulai pagi esok.
Sementara itu, Phumtham menyatakan bahawa hasil perbincangan tersebut mencerminkan komitmen Thailand untuk menyelesaikan konflik secara damai.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Anwar, kerajaan China dan Presiden Trump atas keprihatinan serta niat baik anda semua.
“Hasil keputusan hari ini mencerminkan hasrat Thailand untuk mencapai penyelesaian secara aman. Sambil terus mempertahankan kedaulatan dan nyawa rakyat, kami bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata dengan penuh komitmen dan keyakinan bahawa ia akan dilaksanakan dengan niat yang baik oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
