Thailand, Kemboja capai persetujuan gencatan senjata serta-merta

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Thailand dan Kemboja telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata serta-merta bermula malam Isnin ini.
Menurut beliau, persefahaman tersebut dicapai susulan rundingan antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai yang diadakan di Kompleks Seri Perdana.
“Kedua-dua Kemboja dan Thailand telah mencapai persefahaman bersama seperti gencatan senjata segera dan tanpa syarat, berkuat kuasa selama 24 jam mulai 28 Julai 2025 mengikut waktu tempatan.
“Ini merupakan langkah pertama yang penting ke arah pengurangan ketegangan serta pemulihan keamanan dan keselamatan.
“Kedua, satu mesyuarat tidak rasmi akan diadakan melibatkan komander serantau termasuk Wilayah Ketenteraan 1 dan 2 dari pihak Thailand serta Wilayah Ketenteraan 4 dan 5 dari pihak Kemboja pada jam 7 pagi, 29 Julai 2025. Mesyuarat ini akan disusuli dengan pertemuan bersama Atase Pertahanan yang diketuai oleh Pengerusi ASEAN, sekiranya dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama selepas Mesyuarat Khas antara Thailand dan Kemboja yang berlangsung pada Isnin.
Turut hadir ialah Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan dan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Dalam mesyuarat khas itu, Amerika Syarikat bertindak sebagai penganjur bersama manakala China hadir sebagai pemerhati.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa kerajaan Thailand mengesahkan kehadiran dalam rundingan damai serantau di Malaysia pada Isnin bagi membincangkan konflik sempadan yang semakin memuncak dengan Kemboja.
Kerajaan Thailand pada Ahad turut menyatakan bahawa penyertaannya dalam rundingan tersebut adalah bagi membuka laluan kepada penyelesaian berdasarkan maklumat serta membantu memulihkan ketegangan.
Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara memuncak pada 25 Julai lalu, mengakibatkan pertempuran bersenjata di kawasan sempadan utara Kemboja.
Media melaporkan bahawa pertempuran terbaharu itu telah meragut lebih 20 nyawa di pihak Thailand.
Dalam masa yang sama, pihak berkuasa Kemboja memaklumkan bahawa lima anggota tentera dan lapan orang awam terkorban, manakala ribuan penduduk terpaksa dipindahkan di kedua-dua belah sempadan.
Menurut Anwar, kedua-dua negara juga akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) pada 4 Ogos 2025 yang akan dihoskan oleh Kemboja.
“Sebagai Pengerusi ASEAN semasa, Malaysia bersedia menyelaraskan pasukan pemerhati bagi mengesahkan dan memastikan pelaksanaan gencatan senjata ini.
“Malaysia juga akan berunding dengan negara anggota ASEAN lain untuk turut serta dalam usaha pemerhatian ini, selaras dengan komitmen serantau dalam menyokong keamanan di lapangan,” ujarnya.
Anwar turut memaklumkan bahawa Thailand dan Kemboja telah bersetuju untuk menyambung semula komunikasi langsung antara Perdana Menteri, Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan masing-masing.
Tambah beliau, ketiga-tiga negara telah mengarahkan Menteri Luar Negeri dan Menteri Pertahanan mereka untuk membangunkan satu mekanisme terperinci bagi pelaksanaan, pengesahan dan pelaporan gencatan senjata.
“Mekanisme berkenaan akan menjadi asas kepada keamanan dan akauntabiliti yang berterusan.
“Mesyuarat ini membuktikan azam bersama Malaysia, Kemboja dan Thailand dalam menjunjung prinsip undang-undang antarabangsa, kewujudan bersama secara aman serta kerjasama multilateral dalam usaha mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap situasi ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

