Melodies Buskers juara Busking Jiwa Muda

Melodies Buskers ketika diumum juara pertandingan Busking Jiwa Muda bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (dua dari kiri) dan Pengarah Projek Karnival Siang Malam Karangkraf 2025, Meen Tahrin (tiga dari kiri).
Melodies Buskers ketika diumum juara pertandingan Busking Jiwa Muda bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (dua dari kiri) dan Pengarah Projek Karnival Siang Malam Karangkraf 2025, Meen Tahrin (tiga dari kiri).
A
A
A

SHAH ALAM – Kumpulan Melodies Buskers dinobatkan sebagai juara pertandingan Busking Jiwa Muda dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM700 sempena Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 yang berlangsung di Dataran Karangkraf, di sini pada Ahad.

Ketua kumpulan tersebut, Farizth Affendi Zulkipli berkata, beliau tidak menyangka percubaan kali keduanya dalam pertandingan itu sekali lagi membawa tuah, selepas turut meraih kemenangan pada Karnival Rakyat Karangkraf tahun lalu.

"Alhamdulillah, memang kami tidak menjangka dapat menang kerana semua lima kumpulan dilihat hebat. Saingan kali ini lebih mencabar, tapi pengalaman lalu banyak membantu saya tampil lebih yakin di atas pentas.

"Penyertaan dalam pertandingan seperti ini bukan sahaja menguji bakat dan kreativiti, tetapi juga memberi peluang menimba pengalaman baharu serta meningkatkan keyakinan diri di hadapan khalayak," katanya kepada Sinar Harian selepas majlis penyampaian hadiah tersebut.

The Daun Buskers ketika diumum tempat kedua pertandingan Busking Jiwa Muda bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (dua dari kiri) dan Pengarah Projek Karnival Siang Malam Karangkraf 2025, Meen Tahrin (tiga dari kiri).
The Daun Buskers ketika diumum tempat kedua pertandingan Busking Jiwa Muda bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (dua dari kiri) dan Pengarah Projek Karnival Siang Malam Karangkraf 2025, Meen Tahrin (tiga dari kiri).

Pertandingan tersebut menyaksikan The Daun Busker dinobatkan sebagai naib johan dan menerima wang tunai RM500, manakala Qarabait Busker berada di kedudukan ketiga dengan membawa pulang RM300 beserta trofi.

Barisan juri terdiri daripada penyanyi terkenal, Fazli Zainal; Pengarah Seri, NU Ideaktiv merangkap pemain gitar, Mazlan Abu Bakar; dan Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa.

Tambah Farizth Affendi, pertandingan sebegitu bukan sahaja menjadi platform untuk mengasah kemahiran dan kreativiti, malah membuka ruang kepada generasi muda untuk lebih berani berkarya di hadapan khalayak.

Artikel Berkaitan:

"Besar harapan saya untuk Sinar Harian menganjurkan pertandingan terbuka seperti ini lagi pada masa akan datang kerana ia dapat mencungkil bakat anak muda, terutamanya.

"Acara sebegini bukan sahaja memberi pengalaman berharga, malah mampu menjadi titik permulaan untuk ramai bakat baharu dikenali," katanya.

Qarabait Buskers ketika diumum tempat ketiga pertandingan Busking Jiwa Muda bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (dua dari kiri) dan Pengarah Projek Karnival Siang Malam Karangkraf 2025, Meen Tahrin (tiga dari kiri).
Qarabait Buskers ketika diumum tempat ketiga pertandingan Busking Jiwa Muda bergambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (dua dari kiri) dan Pengarah Projek Karnival Siang Malam Karangkraf 2025, Meen Tahrin (tiga dari kiri).

Sementara itu, vokalis Qarabait Busker, Nik Irdeena Ridani Muhamad Rizal berkata, penyertaan mereka sekadar mencuba nasib, namun bersyukur kerana dipilih antara tiga kumpulan terbaik.

Menurutnya, peluang beraksi di luar Pahang buat kali pertama menjadi pengalaman amat berharga, selain memuji kemudahan yang disediakan sepanjang pertandingan berlangsung.

"Insya-ALLAH, saya akan terus sokong dan sertai lagi pertandingan seperti ini selepas ini. Terima kasih kepada Sinar Harian dan Karangkraf kerana menyediakan kelengkapan yang sangat bagus.

"Ini penyertaan pertama kami di luar Pahang, dan saya akan cuba lagi pada masa akan datang," ujarnya.

Nik Irdeena menambah, penganjuran pertandingan seumpama itu membuka ruang kepada bakat muda untuk mencuba sesuatu yang baharu, di samping membina keyakinan diri untuk terus bersaing di pentas yang lebih besar.

Sementara itu, ketua juri, Fazli Zainal menyatakan rasa puas hati terhadap persembahan para peserta walaupun kebanyakan mereka masih di peringkat amatur.

Menurut Fazli, semua peserta menunjukkan potensi besar untuk digilap sekiranya diberi peluang dan masa mencukupi bagi memperkemaskan persembahan mereka.

"Semua peserta dilihat okey, walaupun amatur. Kalau diberi masa, mungkin mereka boleh 'tight' lagi persembahan. Mereka ialah generasi baharu yang pentingnya ada minat dan keberanian untuk ke depan," katanya.

Fazli turut menekankan bahawa pertandingan seperti itu penting untuk melahirkan pelapis baharu dalam industri muzik, memandangkan penyertaan buskers muda kini semakin berkurangan.

"Kita perlukan pelapis baharu dalam industri muzik supaya tidak hanya bergantung kepada penyanyi media sosial seperti TikTok.

"Mereka yang berani tampil ini boleh melangkah lebih jauh dan melahirkan pemuzik berkualiti pada masa depan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!