KKR arah 1,249 projek pra-pembinaan disegerakan

Kerajaan mengarahkan semua kementerian terlibat mempercepatkan proses pra-pembinaan bagi 1,249 projek kerajaan di seluruh negara. Foto kecil: Ahmad Maslan
Kerajaan mengarahkan semua kementerian terlibat mempercepatkan proses pra-pembinaan bagi 1,249 projek kerajaan di seluruh negara. Foto kecil: Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN – Kerajaan mengarahkan semua kementerian terlibat mempercepatkan proses pra-pembinaan bagi 1,249 projek kerajaan di seluruh negara yang masih belum memasuki fasa pembinaan fizikal.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, fasa pra-pembinaan melibatkan perancangan, reka bentuk dan proses perolehan.

"Pra-pembinaan ini bermaksud belum ada apa-apa berlaku di atas tanah. Belum ada kontraktor dilantik, belum ada Surat Setuju Terima (SST).

"Statistik untuk fasa pra-pembinaan pada masa ini ialah sebanyak 855 projek masih lagi dalam perancangan, 93 projek dalam fasa rekabentuk dan 229 projek sedang dalam perolehan.

"Jadi kita di KKR mengarahkan agar semua kementerian yang terlibat (ada projek pra-pembinaan) perlu duduk berbincang dan mempercepatkan projek-projek pra-pembinaan supaya proses pembinaan dilakukan,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Pontian di sini pada Ahad.

Ahmad berkata, antara kementerian terlibat ialah Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Ekonomi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pertahanan (Menhan) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Kelewatan sebenar bukan hanya berlaku di peringkat pembinaan, sebaliknya banyak projek ‘tersangkut’ ketika fasa pra-pembinaan yang melibatkan perancangan, reka bentuk dan proses perolehan.

"Tetapi prosesnya boleh ambil masa bertahun-tahun,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan, keadaan tersebut tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana rakyat menunggu kemudahan seperti hospital, sekolah dan infrastruktur asas disiapkan dengan segera.

“Kalau peringkat pra ini lambat, pembinaan pun akan tertangguh. Kita mahu proses ini dipacu lebih pantas,”ujarnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan mengarahkan percepatan proses pra-pembinaan untuk 1,249 projek kerajaan
  • Fasa pra-pembinaan melipatkan perancangan, reka bentuk dan proses perolehan
  • Ada 855 projek dalam perancangan, 93 projek dalam fasa reka bentuk, dan 229 projek dalam perolehan
  • Kementerian terlibat termasuk Kewangan, Kerja Raya, Ekonomi, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kesihatan, Pendidikan, Pertahanan, dan Dalam Negeri
  • Kelewatan dalam pra-pembinaan menyebabkan kelewatan dalam penyediaan kemudahan seperti hospital dan sekolah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!