Kerajaan negeri teliti risiko memancing bawah jambatan

Aktiviti memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang. Gambar kecil: Chow Kon Yeow (kiri) dan Rusley
Aktiviti memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang. Gambar kecil: Chow Kon Yeow (kiri) dan Rusley
A
A
A

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang memandang serius aktiviti memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang disifatkan berisiko terhadap keselamatan awam serta integriti infrastruktur penting negeri.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, walaupun tiada aduan rasmi diterima, pihak berkuasa maklum tentang kewujudan aktiviti memancing secara berkumpulan menggunakan bot atau sampan di bawah jambatan berkenaan.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan dua aspek penting, iaitu keselamatan pemancing dan keselamatan pengguna jambatan,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua jambatan tersebut telah diisytiharkan sebagai Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (KLTL) di bawah Akta 298, sekali gus menjadikan aktiviti memancing di bawah struktur itu sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Tindakan itu dikhuatiri boleh menjejaskan saluran kabel komunikasi dan kabel elektrik milik Telekom Malaysia serta Tenaga Nasional Berhad yang terletak di bawah jambatan,” katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Sasaran Penting Negeri (JSPN) kini sedang memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti berhampiran kedua-dua jambatan, dengan drafnya hampir 80 peratus siap dan diselaraskan bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) Pulau Pinang, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Utara serta agensi keselamatan berkaitan.

Menurutnya, SOP itu akan dibentangkan kepada kerajaan negeri sebelum dimuktamadkan dan walaupun kawasan berkenaan diwartakan sebagai zon larangan, kerajaan negeri terbuka untuk mempertimbangkan aktiviti memancing secara terkawal tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Sementara itu, Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) menegaskan kawasan berkenaan berada di bawah kawalan keselamatan yang ketat kerana diklasifikasikan sebagai Sasaran Penting Negara.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Rusley Chi Ari berkata, larangan itu termaktub di bawah Seksyen 4 dan 5 Akta 298 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali. Selain itu, individu terlibat juga boleh disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kerajaan Pulau Pinang menganggap aktiviti memancing di bawah Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah sebagai risiko keselamatan
  • Tiada aduan rasmi tapi aktiviti memancing di kawasan itu diketahui
  • Aktiviti memancing di bawah kedua-dua jambatan adalah kesalahan di sisi undang-undang
  • Menjejaskan saluran kabel komunikasi dan elektrik
  • SOP sedang disiapkan dan kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan aktiviti memancing terkawal

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!