Sinar Harian terus teguh berdiri selama 19 tahun

Firdaus (tengah) ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-19 Sinar Harian di Dataran Karangkraf di sini pada Sabtu.
Firdaus (tengah) ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-19 Sinar Harian di Dataran Karangkraf di sini pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Akhbar arus perdana, Sinar Harian terus teguh berdiri selama 19 tahun, walaupun berdepan dengan cabaran dan dugaan semasa.

Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, kejayaan ini dicapai hasil komitmen tinggi kakitangan dan pembaca akhbar yang dikenali dengan slogan ‘Telus dan Tulus’ itu.

"Kami tidak didukung oleh mana-mana parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau sesiapa sahaja. Jadi, kami harapkan sokongan daripada semua supaya Sinar Harian dapat memberikan yang terbaik dan menyajikan berita yang telus dan tulus.

"Besar harapan saya supaya rakyat Malaysia terus menyokong dan membeli Sinar Harian supaya kita mampu berikan berita yang terbaik. Kepada kakitangan Sinar Harian teruslah bekerja dengan dedikasi dan penuh integriti," katanya ketika ditemui selepas Sambutan Ulang Tahun Ke-19 Sinar Harian di Dataran Karangkraf di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, Firdaus yang turut diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin, Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli dan Pengarang Eksekutif Sinar Harian, Azmi Tarmizi mengetuai acara memotong 19 biji kek sebagai simbolik sambutan ulang tahun akhbar berkenaan.

Firdaus (tengah) mengetuai acara memotong 19 biji kek sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-19 Sinar Harian di Dataran Karangkraf di sini pada Sabtu.
Firdaus (tengah) mengetuai acara memotong 19 biji kek sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-19 Sinar Harian di Dataran Karangkraf di sini pada Sabtu.

Sambutan penuh kemeriahan itu diadakan bersempena program Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 dan turut diiringi dengan perarakan kereta Mini Cooper serta Motor Retro.

Karnival selama tiga hari itu membuka tirai pada Jumaat dengan pelbagai pengisian menarik disediakan untuk pengunjung dari jam 9 pagi hingga 12 malam.

Artikel Berkaitan:

Antara aktiviti yang akan berlangsung selama tiga hari karnival berlangsung ialah rumah hantu, go- kart, Pasar Saloma, pertandingan-pertandingan melibatkan pelajar sekolah dan jualan buku yang menawarkan promosi menarik.

Mengulas lanjut, Firdaus berkata, Sinar Harian akan terus mendukung konsep tidak menyebelahi mana-mana pihak dalam menyiarkan berita untuk tatapan pembaca.

Ujarnya, pendirian akhbar ini kekal menyokong semua pihak yang membuat kerja demi kesejahteraan rakyat.

"Benda baik kami akan laporkan dan begitu juga sebaliknya kerana kita ingin rakyat tahu apa yang terjadi kerana kita ingin merakyatkan Sinar Harian sebagai suara rakyat," katanya.

INFO SINAR HARIAN:

- Mula diterbitkan pada 31 Julai 2006 di Kelantan dan Terengganu, Sinar Harian yang pada awalnya dikenali sebagai suara komuniti dan bersifat neutral menjadi akhbar bahasa Melayu terlaris di Malaysia.

- Selama hampir dua dekad akhbar ini membawakan berita serata negeri dengan 'tagline' Telus & Tulus, Sinar Harian juga popular perkataan 'cakna' yang bermaksud ambil tahu atau prihatin.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!