Sinar Harian sentiasa laksana transformasi untuk kekal berdaya saing

SHAH ALAM - Bakal menyambut ulang tahun ke-19 pada 31 Julai ini, akhbar arus perdana, Sinar Harian sentiasa melaksanakan transformasi dalam semua platformnya bagi memastikan kekal berdaya saing serta seiring dengan perkembangan arus teknologi.
Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, transformasi itu merangkumi akhbar, media sosial, aplikasi dan laman web.
"Alhamdulillah, setakat 2025 ini kita menjadi antara media contoh khususnya banyak program kita paling ke depan. Malah kita juga sentiasa memberi penekanan terhadap transformasi.
"Jika dahulu, wartawan kita hanya menulis di akhbar tetapi seiring dengan perkembangan teknologi, wartawan diberikan pelbagai latihan termasuk membuat siaran langsung atau video di lokasi tertentu untuk bersedia dengan perubahan digital," katanya ketika ditemui pada Sambutan Ulang Tahun Ke-19 Sinar Harian di Dataran Karangkraf di sini pada Sabtu.
Sambutan penuh kemeriahan itu diadakan bersempena dengan Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Zamri berkata, diterbitkan 19 tahun lalu ketika akhbar masih menjadi pilihan bacaan utama rakyat di negara ini sebelum berdepan perubahan digital, namun Sinar Harian kekal bertahan sehingga kini.
Ujarnya, kejayaan ini dicapai hasil persediaan transisi awal yang dilakukan syarikat ke arah era digital.
Sementara itu, Zamri dalam masa sama turut menegaskan, akhbar yang dikenali dengan slogan Telus & Tulus itu sentiasa berusaha menjadi akhbar yang tidak dicengkam mana-mana pihak.
"Kita harap rakyat Malaysia terus menyokong Sinar Harian dengan menjadi pembaca yang setia. Menjadi akhbar yang bebas daripada mana-mana kepartian bukan senang tetapi kita sentiasa berusaha menangani cabaran itu," katanya.
Zamri sebelum itu, mengiringi Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin memotong 19 biji kek sebagai simbolik sambutan ulang tahun akhbar berkenaan.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin dan Pengarang Eksekutif Sinar Harian, Azmi Tarmizi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

