'Saya tidak perlu cuti, jalankan tugas seperti biasa' - Azam Baki

SEPANG - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki menegaskan bahawa beliau tidak perlu bercuti susulan dakwaan serta pelbagai perkara berbangkit yang dikaitkan dengan dirinya, sebaliknya akan terus menjalankan tugas seperti biasa.
Bercakap pada sidang media selepas menghadiri program perasmian Kampung Angkat Madani di sini hari ini, Azam berkata, tiada keperluan untuk dirinya bercuti memandangkan setakat ini tiada sebarang pertuduhan jenayah dikenakan terhadapnya.
"Saya tak perlu bercuti. Kalau nak bercuti saya bagi tahu berapa ramai kena tuduh sekarang ni di mahkamah (tetapi) masih lagi bertugas?
"Ada orang (bekas) menteri kewangan pun masih lagi (bertugas ketika kes dalam siasatan), apa masalahnya? Saya ada buat ‘criminal’ kah?” katanya.
Sementara itu, Azam menyatakan keyakinannya bahawa Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan terhadapnya akan melaksanakan siasatan secara telus dan profesional dan memberikan komitmen untuk bekerjasama penuh termasuk mengemukakan dokumen yang diperlukan.
"Saya serahkan pada jawatankuasa, mereka boleh jalankan tanggungjawab dan saya bersedia untuk memberi apa-apa juga dokumen atau keterangan yang diperlukan,” katanya.
Azam berkata, setakat ini beliau belum dipanggil untuk memberikan keterangan namun tetap bersedia memberikan kerjasama dan menyerahkan semua dokumen berkaitan sekiranya perlu.
"Ada dokumen peribadi saya akan tunjuk pada merekalah (Jawatankuasa Khas Siasatan) contoh dokumen bank, tak kan saya hendak tunjuk pada orang yang tiada berkaitan pula," katanya.
Katanya, beliau telah memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung siasatan yang dijalankan.
"Sudah, saya telah berjumpa mereka, tetapi saya akan beri mereka dokumen itu, dokumen sama yang akan saya berikan kepada jawatankuasa," katanya.
Beliau juga telah menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada Bloomberg dan akan meneruskan tindakan saman sekiranya tiada maklum balas dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan.
Terdahulu, media melaporkan terdapat gesaan daripada pelbagai pihak agar Azam direhatkan daripada jawatan selepas Bloomberg dalam laporannya mendakwa beliau memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas berkata, tiada keperluan segera untuk merehatkan Azam sebaliknya menyerahkan kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk melakukan siasatan terlebih dahulu.
Jawatankuasa khas berkenaan dipengerusikan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican. - Bernama
Ringkasan AI
- Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menegaskan bahawa beliau tidak perlu bercuti susulan dakwaan yang dikaitkan dengannya
- Azam Baki menyatakan keyakinannya bahawa Jawatankuasa Khas Siasatan akan melaksanakan siasatan secara telus dan profesional
- Beliau bersedia untuk memberikan kerjasama penuh dengan siasatan termasuk mengemukakan dokumen yang diperlukan
- Azam Baki telah memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung siasatan yang dijalankan
- Beliau juga telah menyerahkan surat tuntutan kepada Bloomberg dan akan meneruskan tindakan saman sekiranya tiada maklum balas dalam tempoh 14 hari
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

