Pembaca hargai Sinar Harian kerana tidak memihak

Dari kiri: Hanafi, Mohd Badrul dan Khairul Azhar
Dari kiri: Hanafi, Mohd Badrul dan Khairul Azhar
A
A
A

SHAH ALAM – Sambutan ulang tahun ke-19 Sinar Harian bukan sekadar meraikan kejayaan penerbitan akhbar itu, malah menjadi medan untuk menghargai kepercayaan pembaca setia yang terus menjadikannya sebagai sumber rujukan utama berita sahih telus dan tulus.

Bagi pekerja swasta dari Kuala Selangor, Hanafi Abdul Halim, 33, beliau menyifatkan Sinar Harian sebagai satu-satunya akhbar arus perdana yang konsisten mengekalkan prinsip kewartawanan beretika tanpa berpihak kepada mana-mana individu mahupun parti politik.

“Dari dulu sampai sekarang, saya selesa baca Sinar Harian sebab mereka tak berat sebelah. Semua pihak diberi ruang. Kalau ada isu politik pun mereka tetap kekal neutral dan itu yang saya hormat.

“Sambutan ulang tahun ke-19 ini membuktikan Sinar Harian terus bertahan kerana pembaca percaya kepada nilai ketelusan yang dibawa,” katanya ketika ditemui pada Karnival Siang Malam Karangkraf di sini pada Sabtu.

Hanafi turut memuji slogan Telus dan Tulus yang sinonim dengan akhbar itu dan menyifatkannya bukan sekadar slogan, malah telah diterjemahkan dalam setiap laporan yang disiarkan.

Sementara itu, Mohd Badrul Hisyam Alias, 37, dari Shah Alam berkata, beliau mula mengikuti Sinar Harian sejak lebih 10 tahun lalu kerana gaya penyampaian beritanya yang mudah difahami dan tidak terlalu berat.

“Saya bukan jenis baca semua berita, tapi kalau baca Sinar Harian, saya yakin dengan isi kandungannya. Saya suka bahagian Sinar Premium dan laporan khas yang mendalam serta berpaksikan fakta.

“Bila mereka adakan sambutan macam ini, terasa macam dihargai juga sebagai pembaca setia. Kita bukan sekadar pengguna tapi sebahagian daripada perjalanan akhbar itu sendiri,” ujarnya.

Tambahnya, di saat banyak media cenderung kepada agenda tertentu, Sinar Harian kekal berdiri sebagai medium yang berani melapor secara objektif walaupun kadangkala berdepan tekanan daripada pelbagai pihak.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi pembaca setia, Khairul Azhar Zakaria, 39, berkata, kekuatan Sinar Harian terletak pada kesungguhan wartawan mereka mendapatkan maklumat terus dari lapangan dan bukan sekadar laporan bersifat menyalin semula.

“Saya perasan, bila ada isu berlaku, wartawan Sinar Harian akan turun padang, temu bual pihak berkaitan, bukan setakat ambil dari kenyataan media. Ini yang membezakan mereka.

“Sebab itu saya percaya kepada kredibiliti Sinar Harian. Mereka tak takut lapor kebenaran dan itu yang penting dalam dunia media hari ini,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!