Konvoi kenderaan klasik meriahkan Sambutan Ulang Tahun ke-19 Sinar Harian

SHAH ALAM – Dua kelab permotoran tempatan melahirkan rasa bangga apabila diberi peluang untuk menyertai konvoi khas sempena Sambutan Ulang Tahun ke-19 Sinar Harian yang berlangsung meriah di Karnival Siang Malam Karangkraf di sini pada Sabtu.
Sebanyak 19 buah kereta Mini Classic dan motosikal retro menyertai konvoi istimewa itu yang turut menjadi simbolik kepada upacara pemotongan 19 biji kek oleh pengurusan tertinggi Kumpulan Karangkraf dan Sinar Harian.
Bendahari Kelab Pemilik Kereta Sport Mini Malaysia, Kamal Ahmad berkata, penyertaan dalam sambutan ulang tahun itu amat bermakna buat ahli kelab sebagai usaha memperkenalkan semula kereta ikonik tersebut kepada masyarakat umum.

“Bagi kami, peluang ini sangat dihargai kerana sejak ditubuhkan pada tahun 1989, kami sentiasa cuba memperkenalkan kereta Mini Classic ini kepada generasi baharu.
“Model yang kami bawa malam ini adalah Mini Classic keluaran asal England pada tahun 1959 yang masih dijaga rapi dan boleh digunakan seperti biasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Presiden Hicom Retro Tegar (HRT), Masri Majid berkata, kelabnya membawa dua jenama motosikal klasik yang masih berfungsi sepenuhnya, antaranya Yamaha GP tahun 1978 dan Yamaha RXS tahun 1985.

“Motor GP dah lebih 40 tahun usianya, tapi Alhamdulillah masih boleh bergerak jauh. Saya sendiri ada 10 biji motosikal retro sebab memang minat dalam dunia permotoran klasik,” katanya.
Masri turut memaklumkan bahawa HRT ditubuhkan pada tahun 2018 selepas beliau dan dua rakannya berjaya menjelajah seluruh Semenanjung Malaysia selama lima hari dengan menaiki motosikal GP klasik.
“Dari situlah tercetusnya idea untuk tubuh kelab ini bagi mengumpulkan lebih ramai peminat motosikal retro dan terus memelihara warisan permotoran lama,” ujarnya.
Kehadiran konvoi berkenaan bukan sahaja menyemarakkan suasana sambutan ulang tahun Sinar Harian malah turut menjadi tarikan utama pengunjung Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 yang teruja bergambar bersama koleksi kenderaan klasik yang dipamerkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

