Lakaran Tun Abdul Razak antara curi perhatian juri

SHAH ALAM - Para pemenang pertandingan melukis dan mewarna poster RISDA di Karnival Siang Malam Karangkraf menerima kejutan istimewa apabila mereka bakal disantuni di ibu pejabat agensi itu bersama pengurusan tertinggi RISDA dalam masa terdekat.
Pengumuman yang tidak disangka itu dibuat oleh Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat RISDA, Laili Husna Othman ketika memberi ucapan di hadapan peserta sebelum nama pemenang diumumkan.
“Alhamdulillah, kami dimaklumkan menerima sambutan penyertaan luar jangka pada tahun ini. Objektif kami menaja program hari ini untuk memberi kesedaran lebih jelas kepada masyarakat, termasuklah golongan remaja dan kanak-kanak mengenai peranan penting sektor pekebun kecil getah di Malaysia.
“Melalui pendekatan kreatif seperti ini, RISDA dapat dikenali dengan cara lebih santai dan bermakna.

“Kami berterima kasih kepada semua yang terus menyokong RISDA. Melalui strategi dan inisiatif ‘RISDA Di Mana-Mana’, kami kini dalam usaha menyebar luas lagi informasi mengenai peranan RISDA melalui pelbagai medium,” katanya kepada Sinar Ahad.
Johan bagi pertandingan melukis yang disertai oleh pelajar sekolah menengah itu akan membawa pulang wang tunai RM500, tempat kedua memenangi wang tunai RM300 dan diikuti tempat ketiga, RM200.
Enam pemenang saguhati pula akan menerima RM50 setiap seorang, semua peserta juga akan menerima sijil penyertaan.

Sementara itu, juara pertandingan melukis, Isabelle Lee, 14, yang merupakan pelajar Tingkatan Dua Sekolah Antarabangsa Dwi Emas merupakan pelajar yang aktif melukis sejak usia enam tahun.
“Saya memang suka melukis dan sudah masuk banyak pertandingan. Ibu bapa saya sentiasa beri dorongan,” katanya.
Pemenang tempat kedua, Nur Ain Shahidah Saffuan, 16, pelajar Tingkatan Empat Sekolah Seni Malaysia Perak pula berkongsi idea lukisannya diperoleh hasil perbincangan bersama guru dan rakan-rakan.
“Saya bersyukur dan bangga dapat harumkan nama sekolah dan keluarga. Bagi saya, RISDA banyak beri sumbangan besar dalam pendidikan, ekonomi dan sosial. Setiap malam saya buat latihan melukis sampai puas hati,” katanya.

Bagi pelajar yang meraih tempat ketiga, Sharvin Naidu yang merupakan pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 24 (2) mendedahkan beliau tidak menyangka akan menang kerana sibuk dengan persediaan SPM.
“Saya sempat berlatih beberapa kali saja. Bertemakan RISDA iaitu ‘Tanah Subur, Menyatu Rakyat – Komuniti Getah Mampan Bersama RISDA’, saya buat kajian sedikit.
“Saya lukis wajah Tun Abdul Razak dalam karya saya sebagai penghormatan kepada pengasas RISDA. Kami berterima kasih juri terlibat atas penghargaan ini,” katanya.
Pertandingan itu bukan sahaja mencungkil bakat seni dalam kalangan pelajar, malah turut buka ruang kesedaran mengenai peranan dan fungsi RISDA dalam membangunkan komuniti pekebun keci getah di seluruh negara.
Karnival Siang Malam Karangkraf tahun ini sekali lagi diserikan dengan pertandingan mewarna peringkat sekolah rendah, hasil penajaan RISDA yang kini memasuki tahun kedua penglibatan mereka dalam acara tersebut.
Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat RISDA, Muhammad Zurairi Radzi, penyertaan dalam acara ini sejajar usaha pihaknya menghebahkan pemahaman masyarakat mengenai peranan sebenar agensi itu, terutama dalam kalangan generasi muda.
“Kini usia pekebun kecil kita semakin meningkat. Jadi, kami perlu ketengahkan peranan RISDA kepada generasi kedua dan ketiga.
“RISDA bukan sekadar tanam getah, tetapi pemerkasaan pembangunan komuniti pekebun kecil termasuklah dari segi pendidikan adalah menjadi fokus kami selaras dengan Aspirasi Desa Madani,” jelasnya.
Tambah beliau, RISDA kini merancang dalam memperkenalkan fungsi dan peranan RISDA di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) agar lebih ramai golongan muda memahami dan mendalami peranan yang dimainkan oleh agensi tersebut.
Pertandingan mewarna kali ini menampilkan dua kategori iaitu Kategori A (umur 7–9 tahun) dan Kategori B (umur 10–12 tahun).
Selain sijil penyertaan untuk semua peserta, pemenang tempat pertama membawa pulang RM300, naib johan RM200, tempat ketiga RM100, manakala enam peserta saguhati menerima RM50 setiap seorang.

Juara bagi Kategori B, Lam Xiang Rou, 11, yang merupakan pelajar tahun lima Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tun Tan Siew Sin berkongsi keterujaannya selepas diumum juara.
“Pada pertandingan ini saya tambah elemen burung dan bunga raya supaya lukisan nampak lebih menarik,” katanya.
Sementara itu juara Kategori A, Nur Raisya Nabila, 9, dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 14 berkata dia membuat banyak persiapan sebelum hadir ke pertandingan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
