Dua wanita Uzbekistan dikerat, mayat tanpa kepala ditemui dalam tong sampah

ISTANBUL - Kes pembunuhan ngeri membabitkan dua wanita warga Uzbekistan terbongkar selepas pihak berkuasa Turkiye mengesahkan kedua-dua mangsa dipercayai dibunuh di lokasi sama sebelum tubuh mereka dikerat dan dibuang ke dalam tong sampah di sekitar bandar raya ini.
Media tempatan melaporkan kejadian berlaku sekitar 23 Januari di daerah Sisli, apabila dua suspek lelaki yang juga warga Uzbekistan dipercayai membunuh mangsa pertama, Durdona Khakimova, 37.
Mayat Khakimova ditemukan pada 24 Januari dalam keadaan dibalut cadar, tanpa kepala dan kaki, di dalam sebuah tong sampah di kawasan berkenaan.
Hasil siasatan lanjut mendapati suspek turut terlibat dalam pembunuhan kedua melibatkan seorang lagi wanita Uzbekistan, Ergashalieva Sayyora, 32.
Beberapa bahagian tubuh mangsa kedua ditemui di lokasi berasingan sekitar Istanbul.
Polis memaklumkan Sayyora tiba di Turkiye pada 28 Disember dan masih berhubung dengan keluarganya sehingga 23 Januari, iaitu tarikh dia dipercayai dibunuh.
Siasatan mendapati kedua-dua mangsa tinggal di rumah yang sama dengan suspek selama kira-kira sebulan, dan Sayyora dipercayai mempunyai hubungan dengan salah seorang daripada mereka.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pada 23 Januari, kedua-dua mangsa memasuki rumah berkenaan bersama dua suspek.
Pada keesokan harinya, suspek dilihat keluar dari kediaman itu dengan membawa beberapa beg plastik sampah hitam. Mereka kemudian dikesan membawa sebuah beg pakaian putih menaiki teksi ke kawasan Fatih, sebelum membuang kandungannya ke dalam tong sampah dan bergerak ke stesen metro Yenikapi.
Berdasarkan rakaman CCTV itu, polis menahan kedua-dua suspek di Lapangan Terbang Istanbul ketika mereka cuba meninggalkan negara berkenaan.
Ketika disoal siasat, suspek mengaku membunuh Sayyora menggunakan senjata tajam sebelum mengerat tubuh mangsa.
Kedua-dua lelaki terbabit dijangka dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat atas pertuduhan membunuh.
Kes ini mencetuskan bantahan besar-besaran oleh kumpulan wanita di Istanbul dan Ankara, yang menuntut keadilan serta perlindungan terhadap wanita daripada keganasan berasaskan jantina.
Menurut data pertubuhan bukan kerajaan Stop Femicides, seramai 294 wanita dibunuh oleh lelaki di Turkiye sepanjang 2025, manakala 297 lagi ditemui mati dalam keadaan mencurigakan.
Ringkasan AI
- Kes pembunuhan ngeri dua wanita Uzbekistan di Turkiye terbongkar dengan tubuh mereka dikerat dan dibuang dalam tong sampah
- Dua lelaki warga Uzbekistan adalah suspek utama pembunuhan tersebut
- Kedua-dua mangsa tinggal di rumah yang sama dengan suspek dan mempunyai hubungan sebelum dibunuh
- Rakaman CCTV menunjukkan suspek keluar dari rumah dengan beg plastik hitam dan sebuah beg pakaian sebelum mereka ditahan
- Bantahan besar-besaran di Istanbul dan Ankara menuntut keadilan dan perlindungan wanita daripada keganasan berasaskan jantina
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
