PM arah projek kecil, sakit peringkat daerah disegerakan

Anwar ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Pontian di sini hari ini. - Foto: Bernama
Anwar ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Pontian di sini hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PONTIAN – Kerajaan memberi penekanan serius terhadap penyelesaian isu projek sakit dan kelewatan projek-projek kecil di peringkat daerah bermula tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan lengkap mengenai pelaksanaan projek-projek kecil di peringkat daerah perlu dikemukakan dalam tempoh sebulan oleh pegawai daerah.

Beliau menegaskan projek yang berlarutan sehingga bertahun-tahun, termasuk projek kemudahan asas seperti hospital, adalah sesuatu yang tidak wajar dan perlu ditangani segera.

“Ada projek yang menunggu sehingga empat tahun. Inilah yang saya maksudkan sebagai projek sakit. Kita mesti turun ke daerah, lihat sendiri apa masalahnya dan kenapa ia menjadi projek sakit,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Hospital Pontian di Dataran Majlis Perbandaran Pontian pada Ahad.

Menurut beliau, kerajaan perlu mencari pendekatan baharu bagi mempercepat pelaksanaan projek, termasuk dari aspek pemilihan kontraktor serta sistem pemantauan supaya setiap projek dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Tambah beliau, kehendak kerajaan untuk melihat projek disiapkan dengan cepat selari dengan harapan rakyat yang mahu kemudahan dan pembangunan dapat dinikmati segera.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri menekankan kejayaan sebenar pentadbiran negara tidak boleh diukur semata-mata melalui angka atau laporan, sebaliknya melalui keberkesanan penyampaian bantuan dan pembangunan kepada rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.

Beliau turut menyifatkan usaha membasmi kemiskinan, termasuk kemiskinan tegar, sebagai keutamaan negara sehingga berjaya mengurangkan masalah tersebut secara sederhana tahun ini.

“Saya berasa bangga dengan usaha yang dilaksanakan di Pontian. Ini hasil kerjasama semua pihak yang benar-benar turun padang dan bekerja untuk rakyat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, sebuah negara yang kaya dengan sumber seperti Malaysia tidak seharusnya terus dibelenggu isu kemiskinan tegar dan kegagalan menyelesaikannya adalah sesuatu yang memalukan.

“Kerajaan akan terus memastikan setiap projek, sama ada berskala kecil atau besar, dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan agar pembangunan benar-benar sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan serius menangani isu projek sakit dan kelewatan projek kecil di peringkat daerah bermula tahun ini
  • Perdana Menteri memerlukan laporan lengkap pelaksanaan projek kecil dalam masa sebulan oleh pegawai daerah
  • Projek berlarutan bertahun-tahun termasuk kemudahan asas seperti hospital perlu ditangani segera
  • Kerajaan mencari pendekatan baharu dalam pemilihan kontraktor dan sistem pemantauan untuk percepat pelaksanaan projek
  • Usaha membasmi kemiskinan termasuk kemiskinan tegar menjadi keutamaan negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!