'Magic mushroom' dalam vape sebenarnya ganja sintetik - JSJN

KUALA LUMPUR – Tiada istilah magic mushroom dalam cecair vape, sebaliknya ia merupakan taktik manipulasi pengedar yang melabelkannya sedemikian bagi menarik minat remaja termasuk pelajar sekolah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu disahkan oleh Jabatan Kimia Malaysia selepas ujian makmal dilakukan terhadap bahan rampasan yang dikaitkan dengan magic mushroom.
“Hakikatnya, tiada istilah dadah magic mushroom dalam cecair vape. Ini disahkan oleh Jabatan Kimia melalui ujian terhadap dadah yang dirampas oleh JSJN.
“Dakwaan yang tular mengenai cendawan kering atau titisan cecair halusinogen semula jadi adalah tidak tepat,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, kejadian yang melibatkan pelajar sekolah dalam penyalahgunaan vape berisi bahan meragukan telah menimbulkan kebimbangan serius, walaupun kes sebegitu masih dianggap terpencil.
Menurutnya, siasatan mendapati pengedar dadah sengaja menjenamakan bahan sintetik sebagai magic mushroom bagi mengelirukan pengguna.
“Sehingga kini, tiada bukti rasmi menunjukkan penjualan cendawan kering sebenar atau dadah yang dicampur dalam coklat dan gula-gula seperti yang didakwa secara meluas,” katanya.
JSJN, katanya, memandang serius trend ini dan telah melaksanakan risikan menyeluruh di seluruh negara berhubung penyalahgunaan vape mengandungi dadah dalam kalangan remaja.
"Berdasarkan statistik rampasan cecair vape dari tahun 2024 hingga Mac 2025, sebanyak 64 kes direkodkan sepanjang tahun lalu.
“Manakala dalam tempoh tiga bulan pertama 2025 (Januari hingga Mac), sebanyak 32 kes telah dicatatkan, menunjukkan peningkatan ketara dari segi purata bulanan,” katanya.
Tambah beliau, analisis makmal terhadap bahan rampasan menunjukkan kebanyakan cecair vape mengandungi dadah terlarang khususnya ganja sintetik seperti MDMB-4en-PINACA dan analognya.
“Modus operandi ini menunjukkan penggunaan bahan psikoaktif yang dicampurkan ke dalam cecair vape sebagai medium penghantaran dadah.
“Terdapat juga kes melibatkan dadah stimulan seperti methamphetamine dan MDMA, memperlihatkan bentuk penyalahgunaan baharu melalui peranti elektronik,” jelasnya.
Hussein menegaskan, penyalahgunaan vape sebagai medium penghantaran dadah merupakan realiti yang perlu ditangani segera.
Beliau turut menasihati masyarakat agar merujuk kepada maklumat sahih daripada sumber rasmi seperti polis, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Kesihatan, serta tidak menyebarkan berita tular tanpa pengesahan kerana boleh mencetuskan panik yang tidak berasas.
“Terdapat keperluan untuk memasukkan pendidikan mengenai bahaya vape yang mengandungi bahan sintetik ke dalam silibus pembelajaran, serta melaksanakan kempen kesedaran secara berterusan, khususnya dalam kalangan pelajar.
“Ibu bapa juga disarankan agar sentiasa memantau aktiviti dan barangan anak-anak di sekolah serta berbincang secara terbuka mengenai risiko penggunaan vape dan dadah terlarang,” katanya.
Tambah beliau, JSJN turut menyokong kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berhubung larangan penjualan vape di peringkat negeri sebagai langkah membendung penyalahgunaan dadah menerusi peranti itu.
“Seperti diketahui umum, kerajaan sedang memperkemas mekanisme kawal selia produk vape, terutamanya dari aspek kandungan dan pengedaran.
“Kementerian Kesihatan bersama agensi penguat kuasa sedang meneliti pelaksanaan sistem pelesenan baharu yang lebih ketat, termasuk pemantauan kandungan cecair vape melalui ujian makmal serta kawalan ketat penjualan kepada individu bawah umur,” ujarnya.
Pada masa sama, katanya, pihak polis turut memantau aktiviti penjualan vape mengandungi dadah secara dalam talian.
“Penguatkuasaan kini tidak hanya tertumpu kepada kawalan fizikal, tetapi turut merangkumi ruang digital.
“Sekiranya sesiapa mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan atau pengedaran dadah, sila salurkan terus kepada JSJN melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

