Aidilfitri: JIM pantau 5 lokasi tumpuan warga asing di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Lima lokasi utama di ibu negara yang dikenal pasti menjadi tumpuan kehadiran warga asing akan dipantau ketat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur pada musim perayaan Aidilfitri.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, lokasi-lokasi tersebut termasuklah bangunan ikonik KLCC, Masjid India, Kota Raya, Jalan Silang, dan Bukit Bintang.
Katanya, pemantauan tersebut akan dilaksanakan dengan kaedah ‘omnipresence’, melibatkan anggota yang mencukupi sepanjang musim perayaan ini.
"Penugasan anggota ini bertujuan untuk memastikan warga asing mematuhi undang-undang imigresen dan memastikan kawasan-kawasan tersebut selesa untuk dikunjungi oleh warga tempatan dan pelancong asing sepanjang musim raya," jelasnya.Wan Mohammed Saupee menambah bahawa Jabatan Imigresen Kuala Lumpur sentiasa peka terhadap keperluan memastikan kehadiran dan keberadaan agensi penguat kuasa dirasai oleh rakyat.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa operasi secara bersepadu KL Strike Force turut dilaksanakan oleh JIM Kuala Lumpur bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Pengangkutan Jalan, Kementerian Kesihatan Malaysia, serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Beliau turut mengingatkan warga asing yang berada di ibu negara untuk memastikan mereka memiliki dokumen sah semasa berada di kawasan-kawasan tersebut.
"Tidak semua warga asing di sini (Kuala Lumpur) adalah pendatang tanpa izin (PATI). Ada di antara mereka yang mempunyai dokumen sah dan mengambil peluang cuti untuk berjumpa rakan atau berkumpul. Diharap perkara ini tidak dipandang negatif oleh masyarakat," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Wan Mohammed Saupee berkongsi statistik penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur setakat 20 Mac tahun ini.
Menurutnya, sejumlah 150 operasi telah dilaksanakan, dengan tangkapan 43 majikan dan 1,099 PATI dari pelbagai negara termasuk Bangladesh, China, India, Indonesia, Myanmar, Pakistan, Thailand, dan Vietnam.
"Unit pendakwaan merekodkan hukuman paling berat yang dikenakan terhadap PATI adalah penjara 53 bulan, satu sebatan serta denda RM30,000," katanya.
Menurut beliau, kutipan hasil tindakan kompaun terhadap PATI dan majikan, pas khas, serta Program Repatriasi Migran (PRM) pada tahun ini telah mencatatkan jumlah sebanyak RM2.81 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!