Penjaja haram warga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur digempur

Antara penjaja warga asing yang diperiksa dalam operasi di Pasar Boring Kuala Lumpur pada Selasa.
Antara penjaja warga asing yang diperiksa dalam operasi di Pasar Boring Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan beberapa penjaja warga asing yang cuba melarikan diri gagal apabila dicekup oleh anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 50 individu diperiksa dalam Operasi KL Strike Force yang bermula dari jam 11.13 pagi hingga 12.20 tengah hari itu.

"Hasil pemeriksaan, lima lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 21 hingga 50 tahun ditahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Wan Mohamed Saupee berkata, tiga daripada warga asing yang ditahan itu didapati melakukan kesalahan tinggal lebih masa.

"Tiga lagi ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri atau pasport yang sah," ujarnya.

Beliau berkata, operasi itu melibatkan seramai 19 anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan JIM Kuala Lumpur.

"Operasi itu susulan aduan awam dan rakaman tular di media sosial," katanya.

Menurutnya, DBKL turut menjalankan tindakan penguatkuasaan dengan menyita 15 barangan perniagaan milik penjaja warga asing yang beroperasi tanpa lesen.

“Tindakan dilaksanakan mengikut UUK 3(1) Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016," tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!