[VIDEO] Penolong Pegawai Penguat Kuasa KPDN didakwa minta rasuah
SEREMBAN - Seorang Penolong Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan meminta rasuah sebagai dorongan untuk tidak melakukan siasatan kes berkaitan minyak masak tiga tahun lalu.
Tertuduh, Sahzul Hisam Samsuri, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Darmafikri Abu Hassan selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh melalui panggilan telefon dengan seorang lelaki berusia 53 tahun telah secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang berjumlah RM8,500 untuk dirinya sebagai dorongan untuk tidak meneruskan siasatan kes kesalahan membawa minyak masak terpakai tanpa lesen yang sah.
Kesalahan itu dilakukan pada 11 September 2022, di sekitar Seremban.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.
Sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Asmaa' Zamri menawarkan jaminan RM8,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Selangor setiap bulan dan menyerahkan pasport sekiranya ada.

Tambahnya, tertuduh juga tidak dibenarkan menganggu saksi-saksi pendakwaan sepanjang kes berlangsung.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu wang jaminan dikurangkan kerana kini telah digantung tugas selain mempunyai enam tanggungan Dan perlu menerima rawatan berterusan di hospital kerana penyakit darah tinggi.
Katanya, pada pengunjung Julai lalu dia juga telah dituduh di Mahkamah Shah Alam atas tiga pertuduhan bagi kes sama dengan nilai jaminan RM9,000.
"Dengan ini saya mohon atas pertimbangan wang jaminan dikurangkan kerana saya secara jujur membawa wang terkumpul untuk membayar jaminan hari ini sebanyak RM3,000 saja," katanya.
Mahkamah menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.
Jaminan tertuduh juga boleh dibatalkan sekiranya tertuduh gagal mematuhi syarat-syarat dikenakan.
Sebutan semula kes 27 Ogos depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

