Rumah, empat kenderaan musnah terbakar

PERMATANG PAUH - Sebuah rumah di Kampung Belah Dua di sini musnah hampir 70 peratus dalam kebakaran yang berlaku pada awal pagi Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.18 pagi dan jentera bomba tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 8.40 pagi manakala operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 9.51 pagi.

"Kebakaran melibatkan satu unit rumah kelas B bersaiz 20x30 kaki serta empat kenderaan iaitu dua motosikal dan dua kereta.
“Konsep RECEO telah diaplikasikan dalam operasi pemadaman. Kaedah pemadaman dilakukan secara defensif dan ofensif. Kerja-kerja overhaul telah diselesaikan sebelum lokasi diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, motosikal yang terlibat ialah Kawasaki Ninja Z800 yang mengalami kerosakan 30 peratus, manakala sebuah skuter yang tidak dikenal pasti musnah 95 peratus.
"Sementara itu, kereta Perodua Viva musnah 85 peratus dan Proton Wira mengalami kerosakan 30 peratus. Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) turut dilaksanakan termasuk pengambilan maklumat pemilik premis serta pemberian khidmat nasihat.

"Semua penghuni rumah berkenaan iaitu lima orang termasuk seorang lelaki dewasa, dua wanita dewasa dan dua kanak-kanak dilaporkan selamat. Tiada mangsa cedera dilaporkan," ujarnya.
Jelasnya, seramai 12 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda dan BBP Bukit Mertajam bersama dua jentera LFRT terlibat dalam operasi tersebut.
"Bantuan daripada polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut diberikan bagi memastikan keselamatan serta bekalan elektrik di kawasan itu," katanya lagi.
Ringkasan AI
- Sebuah rumah di Kampung Belah Dua, Permatang Pauh musnah hampir 70 peratus dalam kebakaran
- Bomba dan Penyelamat tiba tujuh minit selepas menerima panggilan kecemasan
- Kebakaran dikawal dalam tempoh 22 minit dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya dalam kurang dari dua jam
- Empat kenderaan termasuk dua motosikal dan dua kereta turut terlibat dalam kebakaran
- Semua penghuni rumah yang terdiri daripada lima orang selamat tanpa kecederaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

