Dua pegawai penguat kuasa CIQ BSI ditahan terlibat kegiatan 'pasport terbang'

Roszita Dim
Roszita Dim
A
A
A

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Dua pegawai penguat kuasa ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan salah laku 'flying passport' di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini malam Jumaat.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) BSI, Roszita Dim berkata, penahanan kedua-dua pegawai melibatkan seorang penyelia berusia 49 tahun dan pegawai Penguatkuasa berusia 31 tahun itu dibuat oleh pasukan Unit Pematuhan AKPS BSI sekitar jam 7.30 malam pada Jumaat.

Menurutnya, penahanan terhadap kedua-dua pegawai berkenaan susulan pemantauan rapi yang dijalankan sejak jam 3 petang terhadap kumpulan pegawai yang bertugas di lokasi.

"Kedua-dua pegawai terbabit ditahan selepas hasil risikan lima hari ke seminggu dan mereka diserahkan kepada pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk siasatan lanjut.

"Ketika pemantauan dibuat, pasukan penguat kuasa mengesan beberapa kemasukan data pelawat yang meragukan menerusi ID pengguna seorang pegawai bertugas di kaunter zon kereta.

"Pemeriksaan lanjut turut mendedahkan terdapat data pelawat asing yang tergolong dalam kategori pelawat bermasalah, yang sepatutnya memerlukan tindakan pembetulan ralat oleh penyelia bertugas," katanya ketika sidang akhbar di Dewan Pelepasan Pelawat CIQ BSI di sini pada Sabtu.

Roszita memberikan taklimat kepada kakitangan di CIQ BSI.
Roszita memberikan taklimat kepada kakitangan di CIQ BSI.

Tambah Roszita, pada jam 9 malam, Unit Pematuhan AKPS mengesan tindakan pelepasan ralat terhadap data pelawat bermasalah, yang dipercayai dilakukan menggunakan ID seorang penyelia bertugas di zon motosikal.

Artikel Berkaitan:

"Hasil pemeriksaan di kaunter kereta mendapati wang tunai berjumlah RM2,800 serta dua unit telefon bimbit dalam simpanan pegawai berkenaan.

"Soal siasat awal berjaya membawa kepada penemuan 11 naskhah pasport milik warganegara Republik Rakyat China (PRC) dan tiga naskah pasport milik warganegara Indonesia, yang disembunyikan dalam sebuah beg hitam di atas siling sebuah kaunter lain," katanya.

Sementara itu Roszita berkata, pemeriksaan di kaunter penyelia zon motosikal turut menemukan dua unit telefon bimbit milik penyelia bertugas, yang kemudiannya dirampas untuk siasatan lanjut.

Katanya, kedua-dua pegawai terbabit telah diserahkan kepada SPRM Negeri Johor untuk tindakan susulan.

"Laporan berhubung kes itu juga telah dikemukakan kepada Ketua Unit Integriti AKPS Putrajaya.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti jaringan lebih luas sindiket yang dipercayai cuba memperdaya sistem keselamatan negara menerusi laluan CIQ," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!