SPRM tahan empat pegawai penguat kuasa terbabit rasuah 'pasport terbang'

SPRM tahan empat pegawai penguat kuasa terbabit rasuah 'pasport terbang'
SPRM tahan empat pegawai penguat kuasa terbabit rasuah 'pasport terbang'
A
A
A

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor menahan empat pegawai penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 ketika bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motor di sempadan Johor-Singapura.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Johor pada Sabtu.

“Dua suspek utama ditahan oleh Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semasa pemeriksaan dilakukan di kaunter semalam, sebelum diserahkan kepada SPRM.

“Susulan itu, dua lagi pegawai turut ditahan kerana dipercayai bersubahat dalam kegiatan 'pasport terbang’ ini,” katanya.

Tambah sumber, ketika tangkapan dilakukan, sebanyak 14 pasport milik warga asing, empat telefon bimbit milik dua suspek utama dan wang tunai dipercayai wang rasuah kira-kira RM3,000 turut dirampas.

“Siasatan awal mendapati wang tunai dan telefon bimbit yang dirampas mempunyai kaitan dengan transaksi rasuah berkaitan cop pasport tanpa kehadiran pemilik.

“Setiap pasport yang dicop tanpa kehadiran pemilik dipercayai melibatkan bayaran kira-kira RM200 kepada suspek,” jelasnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru pada Ahad bagi permohonan reman.

Artikel Berkaitan:

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!