Penghargaan untuk rakyat cerminan tekad Kerajaan Perpaduan - TPM

Datuk Seri Fadillah Yusof
Datuk Seri Fadillah Yusof
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengumuman penghargaan untuk rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencerminkan tekad Kerajaan Perpaduan untuk terus memelihara amanah dan kebajikan rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ucapan tersebut bukan sahaja penghormatan kepada rakyat yang menjadi tulang belakang negara, malah menyeru kepada penyatuan nasional merentas latar belakang dari penjawat awam hingga petani.

"Ini bukti jelas betapa Malaysia Madani bukan sekadar slogan, tetapi gerakan nasional yang kita jayakan bersama," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar beliau, Anwar memberi penghormatan selayaknya kepada rakyat yang menjadi tulang belakang kestabilan negara.

"Ucapan ini menyatukan semua pihak untuk terus fokus pada pembaharuan menyeluruh demi masa depan anak cucu kita," jelasnya.

Tegas beliau, Anwar berjaya menanam keyakinan bahawa hala tuju reformasi fiskal negara kini berada di landasan yang betul dengan sokongan rakyat sebagai nadi utama kepada kestabilan dan kemajuan.

Fadillah menarik perhatian bahawa di bawah Kerajaan Madani, asas ekonomi negara semakin kukuh dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2025 mencatat pertumbuhan 4.4 peratus, unjuran suku kedua mencecah 4.5 peratus, Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025 dan ringgit mengukuh lima peratus kepada RM4.23 berbanding dolar AS, menjadikan ia antara lima mata wang terbaik di Asia.

“Kejayaan ini bukan hanya angka atas kertas. Ia membuka ruang luas kepada pelaburan, peluang pekerjaan dan pelaksanaan dasar sosial yang memberi manfaat terus kepada rakyat,” jelasnya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, kejayaan dasar Madani dapat dilihat dengan jelas di peringkat akar umbi khususnya di Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai anak Sarawak, saya melihat sendiri makna sebenar dasar menyeluruh ini.

"Kenaikan harga lantai padi, insentif kepada pekebun kecil getah serta program-program seperti Sejati Madani benar-benar menjawab keperluan rakyat luar bandar,” katanya.

Tambahnya, peluasan program Kampung Angkat Madani ke 200 kampung dan sasaran 1,000 Sekolah Angkat Madani menjelang akhir tahun ini memberi impak menyeluruh kepada seluruh negara.

"Begitu juga peluasan Jualan Rahmah Madani ke 600 kawasan DUN yang memberi kelegaan langsung kepada pengguna," kata Fadilah.

Mengulas aspek tenaga, beliau memaklumkan keberanian PETRA dalam menyusun semula subsidi dan tarif membuahkan hasil apabila 85 peratus rakyat mula menikmati bil elektrik lebih rendah sehingga 14 peratus bermula Julai.

“Subsidi RON95 pula akan disasarkan semula, membolehkan harga diturunkan kepada RM1.99 seliter.

"Penjimatan ini akan disalurkan terus kepada rakyat, bukannya warga asing,” katanya.

Menurutnya, langkah itu membuktikan reformasi yang dijalankan tidak membebankan rakyat, sebaliknya memberi keadilan kepada majoriti.

Beliau turut menyambut baik pengumuman cuti umum tambahan pada 15 September sempena sambutan Hari Malaysia, yang menurutnya mencerminkan semangat inklusif Kerajaan Perpaduan dalam meraikan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Ayuh semua, marilah kita bersatu hati, berganding tenaga dan terus mendukung agenda Madani yang memberi makna kepada kehidupan rakyat.

"Dari kampung ke bandar, dari Semenanjung ke Borneo, semua

rakyat berhak menikmati kemajuan yang adil dan saksama,” tegas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!