Pengumuman PM amat bermakna kepada rakyat Sabah

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pengumuman Perdana Menteri termasuk penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter disifatkan sebagai amat bermakna kepada rakyat Sabah, khususnya di kawasan pedalaman yang sangat bergantung kepada pengangkutan jalan raya dan sungai untuk mendapatkan bahan api tersebut.

Dalam kenyataan bersama Ketua-Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, mereka menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan dan kesabaran sepanjang tempoh pemulihan ekonomi negara.

Menurut kenyataan itu, langkah-langkah segera yang diumumkan seperti pemberian tunai 'one-off' RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), cuti tambahan sempena Hari Malaysia, penggandaan Jualan Rahmah Madani, pembekuan kenaikan tol serta pengurangan harga RON95 merupakan bukti jelas komitmen kerajaan dalam mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat secara langsung dan menyeluruh.

"Bagi rakyat Sabah khususnya, pelaksanaan subsidi bersasar RON95 dengan penurunan harga itu amat bermakna kerana tahap kebergantungan tinggi terhadap pengangkutan jalan raya dan sungai di kawasan pedalaman.

"Begitu juga dengan peluasan program Jualan Rahmah Madani ke seluruh 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memberi ruang kepada penduduk luar bandar untuk mendapatkan barangan asas pada harga yang lebih rendah tanpa perlu bergantung semata-mata kepada kedai-kedai utama di bandar," katanya pada Rabu.

Tambah kenyataan itu lagi, pengumuman tersebut mencerminkan pengiktirafan bahawa rakyat adalah nadi sebenar kepada kemajuan negara di bawah kerangka Ekonomi Madani.

"Usaha-usaha ini tidak hanya menunjukkan kepekaan kerajaan Madani terhadap realiti hidup rakyat tetapi juga membuktikan bahawa pentadbiran hari ini bersedia mengambil tindakan tegas dan proaktif untuk menangani beban sara hidup yang ditanggung rakyat.

"Dalam masa yang sama, pemberian tunai one-off melalui MyKad kepada semua dewasa berumur 18 tahun ke atas tanpa mengira latar belakang atau kategori pendapatan adalah langkah progresif yang menzahirkan rasa penghargaan Kerajaan kepada setiap individu atas peranan mereka dalam pemulihan negara," katanya.

PKR Sabah turut melihat kesemua inisiatif tersebut sebagai lanjutan kepada usaha-usaha terdahulu yang telah menunjukkan hasil positif, termasuk pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh, penurunan kadar pengangguran serta keberkesanan program membasmi kemiskinan tegar.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang lebih membanggakan adalah pendekatan ini tidak meminggirkan wilayah-wilayah di Borneo malah turut memberi keutamaan kepada pelaksanaan program akar umbi seperti Kampung Angkat dan Sekolah Angkat MADANI di Sabah," katanya.

Seiring dengan pengisytiharan 15 September 2025 sebagai cuti umum khas sempena Hari Malaysia, PKR Sabah turut menyambut baik keprihatinan Kerajaan Perpaduan dalam menyemai semangat kebersamaan dan memperkukuh perpaduan nasional.

Katanya, ia merupakan satu pernyataan yang jelas bahawa Sabah dan Sarawak bukan lagi wilayah pinggiran sebaliknya rakan setara dalam perjalanan membina masa depan Malaysia.

"Bersempena dengan sambutan Hari Sarawak, PKR Sabah turut merakamkan Selamat Hari Sarawak kepada seluruh rakyat Bumi Kenyalang.

"PKR Sabah percaya kerjasama erat antara Sabah dan Sarawak adalah tunjang penting dalam pembinaan negara bangsa yang adil dan makmur.

"Kami yakin bahawa segala langkah ini hanya permulaan kepada pembaharuan menyeluruh yang sedang digerakkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!