Pengumuman Khas PM petunjuk asas ekonomi Malaysia kukuh - Hajiji

A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah melihat pengumuman khas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meringankan kos sara hidup rakyat sebagai petunjuk kepada asas ekonomi negara yang kukuh di bawah kerajaan Madani.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri menyambut baik inisiatif berteraskan rakyat tersebut kerana ia bertujuan mengurangkan beban yang ditanggung oleh rakyat.

"Ia menunjukkan bahawa Perdana Menteri benar-benar mengambil berat terhadap kepentingan rakyat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hajiji berkata bantuan 'one-off' RM100 kepada semua warga tempatan berusia 18 tahun ke atas bagi membeli barangan asas di 4,100 premis perniagaan, serta peluasan jualan Rahmah Madani ke setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan berita baik kepada rakyat.

Beliau turut menyambut baik penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter melalui inisiatif subsidi bersasar yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia sebagai satu langkah yang menepati aspirasi rakyat.

"Pengisytiharan hari sebelum Hari Malaysia pada 15 September sebagai cuti umum merupakan pengiktirafan kerajaan Persekutuan terhadap kepentingan hari istimewa ini untuk seluruh negara," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!