PM laksanakan janjinya - Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah melaksanakan janji kepada rakyat seperti yang disebut sebelum memegang tampuk kepimpinan Kerajaan Madani.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Anwar terpaksa mengambil masa menunaikan janjinya berikutan perlu memperbaiki petunjuk ekonomi yang tidak positif ketika mengambil alih pentadbiran negara.
Malah menurutnya, negara mempunyai hutang yang membengkak, kadar inflasi dan pengangguran tinggi serta pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara berada pada tahap rendah berdasarkan petunjuk ekonomi ketika itu.
"Tetapi pada hari ini, inflasi 1.5, FDI tertinggi dalam sejarah, ringgit juga mengukuh berbanding dolar, jadi kesemua petunjuk ekonomi itu sudah menunjukkan keadaan yang kondusif untuk beliau (Anawar) menghadiahkan balik kepada rakyat dalam bentuk penurunan harga petrol sebanyak enam sen yang akan bermula Oktober ini.
"Saya percaya bahawa sebagai pemimpin bertanggungjawab, beliau bukan saja melaksanakan janji tetapi mengambil masa kerana memulihkan ekonomi itu adalah prasyarat kepada apa-apa pengumuman yang hendak dibuat," katanya ketika ditemui di Parlimen pada Rabu.
Dalam pada itu Saifuddin Nasution menjelaskan, Perdana Menteri turut memberi tumpuan kepada tindakan mengawal ketirisan, elak pembaziran, tidak berbelanja secara berlebihan dan menangkis rasuah.
Tindakan tersebut katanya, bertujuan untuk membaiki kedudukan kewangan negara dan terbukti keadaan itu menjadi lebih baik.
"Oleh itu beliau menghadiahkan dalam bentuk bantuan tunai kepada rakyat yang berumur 18 tahun ke atas berjumlah RM22 juta.
"Beliau turut menangguhkan pembayaran tol sehingga hujung tahun ini kerana pemberian tunai itu suatu yang amat dihargai, diperlukan oleh golongan rakyat berpendapatan rendah.
"Sebab bagi golongan pendapatan rendah, mereka lebih banyak membelanjakan untuk makanan dan aliran wang itu akan berputar dalam pasaran negara, akhirnya ekonomi akan menjadi lebih rancak," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
