Ahli perniagaan wanita bergelar Datuk tak mengaku serah dokumen palsu kepada SSM

KUANTAN - Ahli perniagaan wanita bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas tuduhan membenarkan dokumen palsu diserahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berkaitan peletakan jawatan tiga pengarah sebuah syarikat dua tahun lalu.
Tertuduh, Datuk Azjuriyahti Azlan, 46, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Abdul Hadi Abdul Muti di hadapan Hakim Noor Aisah Mohamed.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membenarkan setiausaha syarikat KMDI Holding Sdn Bhd membuat suatu pernyataan palsu dalam butir material berhubung dengan peletakan jawatan tiga pengarah syarikat terbabit.
Dokumen berkenaan dikemukakan untuk diserah sımpan kepada SSM di bawah Seksyen 58, Akta Syarikat 2016 (Akta 777)
Kesalahan itu dilakukan di Wisma KMDI, Jalan Gambut di sini pada 23 Jun 2023 lalu.
Bagi kesalahan itu, Azjuriyahti didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya sekali.
Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM30,000 terhadap tertuduh bagaimanapun Azjuriyahti melalui peguamnya menyifatkan jumlah jaminan yang dikenakan terlalu tinggi dan merayu agar jumlah itu dikurangkan mengambil kira kemampuan penjamin.
Hakim Noor Aisah Mohamed membenarkan jumlah jaminan terhadap tertuduh dikurangkan kepada RM8,000 dengan dengan seorang penjamin.
Pada prosiding itu, mahkamah turut mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad selepas gagal hadir untuk menghadapi pertuduhan yang sama.
Mohd Nazrul difahamkan sedang menjalani rawatan di wad sebuah hospital swasta di sini.
Mahkamah menetapkan 28 Ogos depan sebagai tarikh sebutan serahan dokumen tertuduh kedua.
Tarikh sama ditetapkan untuk waran tangkap terhadap Mohd Nazrul dan ahli perniagaan perlu mengemukakan cuti sakit dikeluarkan hospital kerajaan sebagai bukti atas kegagalan hadir gagal hadir untuk menghadapi pertuduhan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

