Terpedaya pelaburan tidak wujud, ahli perniagaan rugi lebih RM1 juta

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

NILAI - Tertarik dengan keuntungan lumayan, seorang ahli perniagaan berputih mata apabila kerugian lebih RM1 juta selepas diperdaya sindiket pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Abdul Malik Hasim berkata, mangsa berusia 50 tahun telah membuat laporan polis pada jam 4.22 petang pada Isnin.

"Ahli perniagaan itu menyatakan pada 29 April lalu, dia telah berurusan dengan individu yang menawarkan skim pelaburan dalam talian.

"Dia berminat untuk melabur dalam pelaburan itu kerana dijanjikan keuntungan yang lumayan dan diminta untuk muat turun sebuah aplikasi bernama 'CDT MAX' ke dalam telefon bimbitnya," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, dia kemudian telah memindahkan wang ke dalam tujuh akaun yang diberikan untuk tujuan pelaburan dengan membuat 15 transaksi yang berjumlah keseluruhan RM1,449,750.

Bagaimanapun katanya, dia menyedari telah ditipu setelah diminta untuk membuat pembayaran tambahan sekiranya hendak mengeluarkan keuntungan pelaburan tersebut.

"Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Siasatan sedang dijalankan untuk mengesan dan tangkap suspek," katanya.

Sehubungan itu katanya, orang awam dinasihatkan agar membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum menyertai apa-apa pelaburan dan tidak memberikan maklumat bank kepada individu tidak dikenali.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!