Ahli perniagaan dakwa sakit, janji hadir mahkamah 28 Ogos

Laporan Sinar Harian berhubung pendakwaan kes di bawah Akta Syarikat.
Laporan Sinar Harian berhubung pendakwaan kes di bawah Akta Syarikat.
A
A
A

KUANTAN – Ahli perniagaan, Datuk Seri Mohd Nazrul Izad Mohd Arsad, memberi jaminan akan hadir ke Mahkamah Sesyen Kuantan pada 28 Ogos ini bagi sebutan semula kes yang membabitkan dirinya bersama seorang lagi individu berkaitan, atas pertuduhan di bawah Akta Syarikat 2016.

Menurut beliau, ketidakhadirannya pada prosiding sebelum ini yang berlangsung pada 23 Julai adalah disebabkan masalah kesihatan sehingga terpaksa dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

“Saya sebagai orang kena saman (OKS) akan memastikan kehadiran saya di mahkamah pada 28 Ogos ini dan memohon maaf kepada pihak mahkamah atas apa yang telah berlaku sehingga waran tangkap dikeluarkan.

“Saya akan hadir untuk membela diri dalam kes ini demi menegakkan kebenaran sebagai usahawan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan berusia 46 tahun itu selepas beliau gagal hadir pada tarikh prosiding tersebut.

Hakim Noor Aisah Mohamed mengeluarkan perintah berkenaan selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Abdul Hadi Abdul Muti.

Bagaimanapun, peguamnya, Muhammad Nazrin Mohd Seth, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta dan telah mengemukakan sijil sakit sebagai bukti.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazrul dan pasangannya, Datuk Azjuriyahti Azlan, 46, didakwa secara bersama membenarkan setiausaha syarikat KMDI Holding Sdn Bhd membuat suatu pernyataan palsu dalam butiran material berhubung dengan peletakan jawatan tiga pengarah syarikat berkenaan.

Dokumen tersebut dikemukakan untuk diserah simpan kepada SSM di bawah Seksyen 58, Akta Syarikat 2016 (Akta 777) di premis Wisma KMDI, Jalan Gambut di sini pada 23 Jun 2023.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 591(2)(a), Akta Syarikat 2016 (Akta 777), dan boleh dihukum di bawah seksyen sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding sama, Azjuriyahti mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut dan mahkamah membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 28 Ogos 2024 sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!