'Ayah janji nak hantar saya' - Anak mangsa nahas helikopter PDRM tangguh daftar UniSZA

KUALA NERUS – Anak kepada mangsa nahas helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini terpaksa menangguhkan pendaftaran kemasukan ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang dijadualkan pada Selasa berikutan kejadian menimpa bapanya.
Nur Afiqah Suffiyah Faizul, 18, anak kepada mangsa nahas, Asisten Komisioner Faizul Muhammad berkata, bapanya pernah berjanji untuk menemaninya mendaftar masuk ke universiti itu sebelum ditimpa nahas tersebut.
Nur Afiqah yang dijadualkan mengikuti pengajian dalam bidang Diploma Radiografi antara 1,035 pelajar baharu bagi kemasukan sesi akademik 2025/2026 di UniSZA.
Menurutnya, dia masih terkesan dengan tragedi yang menimpa bapanya itu, lebih-lebih lagi apabila insan tersayang itu sangat teruja dengan kejayaannya melanjutkan pelajaran ke universiti tersebut.

"Ayah memang rancang nak hantar saya sendiri ke Terengganu. Dia sangat bangga bila tahu saya sambung belajar. Semua persiapan telah dibuat lebih awal.
"Namun selepas apa yang berlaku, saya buat keputusan untuk tangguh dahulu pendaftaran bagi beri ruang kepada keluarga pulih secara emosi dan fizikal," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Menurut Afiqah, dia nekad untuk meneruskan pengajian dengan semangat yang ditinggalkan ayahnya dan akan memulakan perjalanan baharunya di UniSZA pada Ahad depan.
Sementara itu, ibunya, Superintenden Siti Hamidah Omar, 45, berkata, keluarga mereka kini masih berada di Johor kerana suaminya masih menjalani rawatan susulan insiden tersebut.
"InsyaALLAH saya akan hantar Afiqah pada Ahad depan bersama seorang lagi anak. Kami sudah maklumkan kepada pihak universiti mengenai penangguhan pendaftaran ini.
"Buat masa ini saya perlu uruskan keadaan suami terlebih dahulu," katanya.
Khamis lalu, dua pegawai dan tiga anggota polis dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru selepas helikopter jenis AS355N milik PDRM yang dinaiki mereka terhempas di Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor ketika melakukan demonstrasi Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (Mitasom 2025) membabitkan empat negara iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), helikopter tersebut berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada jam 9.51 pagi dengan membawa lima penumpang termasuk juruterbang sebelum terhempas di lokasi kejadian.
Akibat kemalangan itu, dua kru iaitu Koperal Adeline Liu Yan Sin dan Konstabel R. G. Devendran dilaporkan kritikal.
Sementara itu, juruterbang, Asisten Komisioner Faizul Muhammad; pembantu juruterbang, Superintenden Ahmad Bustamin Baharom serta Sarjan Siti Latipa Khairuddin turut cedera.
Kesemua mangsa dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
