Nahas helikopter PDRM: Keadaan juruterbang bertambah baik, seorang lagi masih ditidurkan

Laporan Sinar Harian berhubung dua anggota polis kritikal dalam insiden helikopter terhempas ketika latihan
Laporan Sinar Harian berhubung dua anggota polis kritikal dalam insiden helikopter terhempas ketika latihan
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – “Alhamdulillah, hari ini keadaannya jauh lebih baik. Dah boleh makan, berbual dan siap minta saya belikan kuih.”

Demikian kata kakak ipar kepada juruterbang helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Faizul Muhammad, 46, yang terselamat dalam insiden helikopter terhempas berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dekat Gelang Patah semalam.

Menurut wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Lizah, keadaan adik iparnya itu pada awalnya mencemaskan, namun menunjukkan perkembangan positif selepas menerima rawatan.

“Semalam memang kami agak risau dengan keadaannya walaupun stabil, tetapi hari ini alhamdulillah, saya nampak dia sudah 80 peratus pulih.

“Doktor maklumkan dia alami patah tulang rusuk serta cedera di kepala dan pinggang tetapi tiada kecederaan serius lain,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Jumaat.

Jelasnya, dia yang menetap di Kuala Lumpur hanya mengetahui tentang kemalangan itu selepas dimaklumkan oleh kakaknya yang tinggal bersama Faizul di Johor Bahru.

Katanya, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian tersebut, dia segera bergegas ke Johor Bahru untuk melihat keadaan Faizul sendiri.

“Saya terus ke sini bila dapat tahu tentang kejadian. Pada mulanya, bila tengok keadaannya, luluh hati dibuatnya. Tapi sekarang, syukurlah dia dah stabil,” katanya.

Tambah Lizah, Faizul yang berasal dari Paloh, Johor itu menetap di Kuala Lumpur bersama isterinya yang bertugas di Bukit Aman.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pasangan itu dikurniakan empat orang anak dan sepatutnya pada Sabtu ini mereka sekeluarga merancang untuk menghantar anak sulung mereka yang berusia 20 tahun mendaftar ke sebuah universiti di Terengganu.

“Ahad ini sebenarnya dia rancang nak hantar anak sulungnya ke universiti, tapi tak kesampaian. Isterinya sahaja yang akan pergi,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Konstabel RG Devendran, 30, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri masih ditidurkan bagi mempercepatkan proses pemulihan.

Perkara itu dimaklumkan abangnya, RG Navindran, 39, yang juga anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.

Katanya, dia terkejut apabila menerima makluman mengenai kejadian itu daripada Ketua Balai Polis Tanjung Kupang sekitar jam 11 malam semalam.

“Memang terperanjat bila dapat tahu adik sendiri terlibat dalam kemalangan helikopter. Tapi kita kena terus doakan yang terbaik,” katanya.

Menurutnya lagi, adiknya itu masih ditidurkan kerana dikhuatiri berlaku jangkitan pada paru-paru dipercayai berpunca daripada insiden hampir lemas.

Bagaimanapun, pihak doktor pakar di Unit Rawatan Rapi (ICU) masih menjalankan rawatan dan belum dapat memberikan sebarang jaminan berhubung keadaannya.

“Saya tak berani nak beri apa-apa jangkaan. Semua bergantung kepada doktor. Mereka minta beri masa kerana keadaan paru-parunya agak terjejas.

“Adik saya baru menyertai PDRM kira-kira setahun lebih,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!