Nahas helikopter PDRM: Tak sangka keterujaan ibu bertukar tragedi

Mohamad Hariz menunjukkan gambar ibunya.
Mohamad Hariz menunjukkan gambar ibunya.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Anak bongsu kepada salah seorang mangsa nahas helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Sungai Pulai, Khamis lalu tidak menyangka keterujaan ibunya menaiki helikopter berkenaan bertukar menjadi tragedi.

Mohamad Hariz Akmal Mohd Jais, 21, berkata, ibunya, Sarjan Siti Latipa Khairuddin, 54, dilihat begitu teruja dan sempat berkongsi gambar swafoto sebelum berlepas dalam kumpulan WhatsApp keluarga.

“Mak memang teruja. Sehari sebelum kejadian, dia dah cerita kepada kami yang dia akan naik helikopter.

“Pada hari kejadian, mak keluar bertugas seperti biasa dan sempat menghantar gambarnya dalam helikopter sebelum berlepas. Tapi setengah jam kemudian, polis datang ke rumah di kuarters Balai Polis Tanjung Kupang dan maklumkan helikopter mak terhempas,” katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Sabtu.

Tambah Mohamad Hariz, sebaik mendengar perkhabaran itu, mereka sekeluarga bergegas ke hospital dan menunggu ibunya di Zon Kecemasan dan Trauma walaupun jarak antara kuarters mereka dengan lokasi kejadian hanya 10 minit.

Sarjan Siti Latipa merupakan antara lima pegawai PDRM yang menaiki helikopter jenis AS355N yang terhempas berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika menyertai lintas hormat dalam demonstrasi Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025).

Demonstrasi itu membabitkan kerjasama empat negara – Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura sebagai sebahagian daripada latihan keselamatan serantau.

Sementara itu, Hariz yang juga penuntut Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) Pasir Gudang memaklumkan, keadaan ibunya kini stabil dan semakin pulih.

Bagaimanapun katanya, buat masa ini, ibunya hanya dibenarkan minum air kosong dan susu bagi mengelakkan komplikasi semasa proses pemulihan dalaman.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, mak dah boleh bercakap dan menjawab soalan, namun doktor masih belum benarkan mak makan makanan keras.

"Ini kerana mak mengalami kecederaan serius termasuk patah di bahagian kedua-dua buku lali, retak di pinggul kiri serta luka dan lebam di beberapa bahagian badan," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!