Helikopter PDRM terhempas: STAR Team Maritim Malaysia pasukan pertama selamatkan mangsa nahas

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menjadi penyelamat pertama dalam insiden helikopter milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas berhampiran Sungai Pulai, Gelang Patah, Johor pada Khamis.
Maritim Malaysia dalam satu hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, lima anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM berjaya diselamatkan dalam kejadian itu yang berlaku semasa Eksesais Keselamatan Rentas Sempadan MITSATOM 2025.
Menurut kenyataan berkenaan, insiden itu berlaku ketika latihan medan (Field Training Exercise) bersama pasukan keselamatan dari Indonesia, Thailand dan Singapura, sebelum helikopter jenis AS355N itu melakukan pendaratan cemas di perairan tersebut.
"Ketika suasana panik tercetus, seramai 10 anggota STAR Team bertindak pantas sebagai pasukan penyelamat pertama (first responder) dengan terjun ke laut dan membawa semua mangsa ke bot keselamatan terdekat," kata kenyataan itu pada Jumaat.
Jelasnya, pasukan itu diketuai Timbalan Skuadron Gempur STAR Team Semenanjung, Leftenan Madya Maritim Nur' Mohd Farhan Mohd Hamil.
Menurut kenyataan sama, kesemua mangsa berjaya diselamatkan hasil keberanian dan profesionalisme tinggi yang ditunjukkan anggota STAR Team di lokasi kejadian.
"Kecekapan pasukan ini membuktikan tahap kesiapsiagaan tinggi Maritim Malaysia dalam menguruskan situasi kecemasan serta komitmen agensi menjaga keselamatan perairan negara," ujar Maritim Malaysia lagi.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kemalangan sebuah helikopter jenis AS355N itu.
CAAM berkata, helikopter yang dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada 9.51 pagi dengan lima orang penumpang, termasuk juruterbang.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, siasatan berkaitan kejadian akan dijalankan secara menyeluruh oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

