Helikopter terhempas: Koperal Adline semakin pulih

JOHOR BAHRU – Anggota polis wanita, Koperal Adline Liu, 32, yang cedera dalam nahas helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sungai Pulai, Gelang Patah, Khamis lalu, dilaporkan sudah sedar sepenuhnya dan menunjukkan perkembangan positif.
Perkhabaran gembira itu dikongsikan suaminya, Koperal Mohd Helmie Huzaire Sabli, 34, ketika dihubungi pagi tadi.
Menurut Mohd Helmie yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Selangor, Adline mula sedar sekitar jam 3 petang semalam.
"Alhamdulillah, isteri saya sudah boleh bercakap serta bernafas sendiri tanpa bantuan oksigen.
"Hari ini masuk hari kedua dia menunjukkan perkembangan baik dan saya dimaklumkan paru-parunya juga semakin pulih.
"Kini pemantauan difokuskan kepada bahagian tulang belakang kerana terdapat kecederaan pada beberapa tulang selain kelenjar di bahagian pinggang turut membengkak, namun doktor memaklumkan ia tidak memerlukan sebarang pembedahan buat masa ini,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Adline yang berasal dari Kota Samarahan, Sarawak, bertugas sebagai Pemerhati Udara PGU Base Subang Jaya, telah berkhidmat dalam pasukan polis sejak 2014 dan menyertai unit PGU pada tahun 2017.
Pasangan suami isteri itu baru mendirikan rumah tangga iaitu pada 20 Mei 2025 dan kini menetap di Puchong, Selangor.
Untuk rekod, Khamis lalu, helikopter jenis AS355N milik PDRM dengan nombor pendaftaran 9M-PHG, dilaporkan terhempas berhampiran Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Gelang Patah, ketika sedang melakukan lintas hormat sebagai sebahagian daripada demonstrasi Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025), yang melibatkan empat negara – Malaysia, Indonesia, Thailand dan Singapura.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), helikopter itu berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada jam 9.51 pagi, membawa lima penumpang termasuk juruterbang sebelum terhempas di lokasi.
Sementara itu, Mohd Helmie mengakui terkejut apabila menerima perkhabaran mengenai nahas helikopter yang dinaiki isterinya itu.
“Sebagai suami, memang saya amat terkejut dan tidak menyangka perkara ini boleh berlaku.
"Namun saya bersyukur dengan keadaan Adline yang kini semakin stabil. Saya juga mohon orang ramai mendoakan kesembuhan buat isteri saya dan rakan-rakan yang lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
